Web TVPas


Wednesday, August 12, 2009

Isu arak : Tindakan MB Selangor dikecam

Saya sangat kecewa dengan keputusan YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor yang menolak usul yang dikemukakan oleh PAS Selangor supaya dilaksanakan larangan menyeluruh ke atas penjualan arak dikedai serbaneka dan peruncitan di Shah Alam khususnya, dan Selangor amnya. Ianya telah menukar status Selangor daripada negeri Darul Ehsan kepada Selangor Darul Khamar!!




Desakan ini dibuat berdasarkan hakikat Shah Alam adalah kawasan yang penduduknya lebih 90% adalah umat Islam. Tidak ada sebab untuk kedai peruncitan dan serbaneka untuk menjual arak, beer atau alkohol atas apa nama sekalipun, apatah lagi jika ianya berdekatan dengan surau atau masjid.




Berikutan aduan yang dibuat oleh umat Islam, Majlis Bandaraya Shah Alam telah melaksanakan langkah merampas arak yang dijual dibeberapa kedai serbaneka ini. Namun tindakan MBSA telah dipertikai oleh YB Ronnie Liu daripada DAP yang mengarahkan supaya MBSA memulangkan balik arak yang dirampas.


Tindakan YB Ronnie Liu telah membangkitkan kemarahan umat Islam khususnya di Shah Alam. Maka PAS Selangor dibawah pimpinan YB Dato' Hassan Ali telah mengemukakan memorandum supaya larangan penjualan arak secara menyeluruh di Selangor dilaksanakan.




Tindakan dan keputusan YAB Tan Sri Menteri Besar jelas bertentangan dengan kehendak dan aspirasi penduduk Islam di Shah Alam, dan jelas tidak menghormati pendirian PAS Selangor yang merupakan rakan Pakatan.




Malahan apa lebih dikhuatiri sikap YAB Tan Sri Menteri Besar akan memberikan persepsi beliau terlalu tunduk kepada nafsu serakah DAP yang akhir-akhir ini kelihatan makin melampau dan biadap termasuk membuat kenyataan dan tindakan yang dianggap menghina dan merendahkan Islam dan umat Islam.




Kalau Shah Alam yang majoriti besarnya adalah umat islam boleh dicabul dengan penjualan arak, apalah nasib kawasan lain di Selangor! Alangkan YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman pun pernah menyatakan supaya Shah Alam hendaklah dibebaskan daripada pengaruh arak.





Saya teringat lagi kata-kata Almarhum Dato' Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor yang sentiasa mengingatkan kita dan istiqomah dalam menegaskan bahawa arak itu adalah "ummul qobaais" - ibu segala maksiat..the mother of all evil! Saya kira kalau Almarhum masih hidup, sudah tentu beliau akan menentang habis-habisan tindakan Kerajaan Selangor ini.




Saya ingin menegaskan bahawa saya langsung tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Selangor membenarkan penjualan arak dikedai serbaneka dan peruncitan di Selangor. Saya mengambil keputusan memufaraqahkan diri daripada keputusan itu.




Saya juga mendesak supaya Kerajaan Selangor supaya menarik balik keputusan membenarkan penjualan arak tersebut dan menerima memorandum yang dikemukakan oleh PAS Selangor untuk larangan menyeluruh keatas penjualan arak di Selangor.




Saya juga berpendapat mungkin sudah tiba masanya undang-undang negara dipinda untuk membolehkan tindakan pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mana-mana pemilik atau pengusaha kedai peruncitan ataupun serbaneka yang menjual arak kepada mana-mana orang Islam. Kita melihat kebanyakan pemilik atau pengusaha ini terdiri daripada golongan bukan Islam, malahan ada antaranya dimiliki oleh taukeh judi. Mereka tahu bahawa jika mereka menjual arak kepada remaja Islam tindakan tidak boleh dikenakan terhadap mereka; kerana undang-undang negara menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya kepada umat Islam.




Saya juga memohon kepada Kebawah Duli Sultan Selangor mengambil tindakan tegas dalam hal ini kerana sebagai payung bagi agama Islam dalam negeri Selangor, rakyat mengharapkan Tuanku memelihara kesucian dan maruah Islam dan umat Islam yang sudah tercemar akibat kegagalan YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor mempertahankan Islam. Tuanku, you are the last bastion of Islam in this state of Selangor..please do something to redeem the honor and status of Islam in Selangor!




Saya juga menyeru sahabat-sahabat pejuang Islam supaya istiqomah dalam perjuangan kita memastikan Selangor khususnya, dan Malaysia amnya bebas daripada pengaruh arak, beer dan alkohol. Janganlah nanti dikata orang takbir kita dah jadi "tak-beer"!!




Wassalam.




Zulkifli Bin Noordin


Isnin
19 Sya'ban 1430
10 Ogos 2009

No comments:


Sila Klik

Pages