Web TVPas


Thursday, October 8, 2009

Harapkan polis..polis jadi pencuri

Kes kehilangan harta RM300,000 selesai

Oleh Hamid Salleh


KUALA TERENGGANU: Kehilangan barang kemas bernilai RM300,000 milik seorang kerabat diraja Terengganu yang disimpan di Pejabat Istana Badariah di sini, sejak Mac lalu dipercayai selesai dengan tertangkap seorang anggota polis dan teman wanitanya, malam kelmarin.

Difahamkan anggota polis berusia awal 40-an yang bertugas di istana berkenaan ditangkap bersama teman wanita di rumahnya di Flet Hiliran di sini, kira-kira jam 11 malam.

Menurut sumber, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu yang mendapat maklumat berkenaan, menyerbu flet itu dan menahan anggota polis terbabit bersama teman wanitanya.

Katanya, polis turut merampas beberapa barang kemas termasuk gelang, cincin dan kerongsang emas daripada teman wanita anggota polis itu.

Beliau berkata, kedua-dua mereka ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut ke atas mereka.

Berita Harian difahamkan, barang kemas milik kerabat diraja itu sebelum ini disimpan di dalam peti besi di pejabat istana berkenaan bagaimanapun, ia dikeluarkan oleh seorang pekerja untuk tujuan tertentu sebelum meletakkannya semula di pejabat.

"Anggota polis itu mencuri barang kemas berkenaan sedikit demi sedikit tanpa disedari kakitangan pejabat itu sejak Mac lalu," kata sumber berkenaan.

Kehilangan barang kemas itu disedari oleh pekerja pejabat istana berkenaan baru-baru ini dan laporan dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu, kira-kira jam 5 petang, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Arshad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

No comments:


Sila Klik

Pages