Web TVPas


Thursday, December 3, 2009

Awas! Jangan ketinggalan perhimpunan besar-besaran di KB

PETALING JAYA, Dis 3 — Di sebalik spekulasi bahawa wujudnya "boikot senyap-senyap" dalam PAS sendiri terhadap kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, satu majlis besar-besaran yang dikenali sebagai Perhimpunan Rakyat bagi menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Kelantan itu akan diadakan di Kota Baru esok.

Ia dianjurkan oleh barisan kepimpinan PAS negeri dengan sokongan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri.

saha sedemikian bertujuan membalas tunjuk perasaan yang diadakan oleh kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai gerakan Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan kelmarin.

"Satu perhimpunan besar, yang lebih 10 kali ganda daripada apa (tunjuk perasaan) yang dianjurkan oleh sekumpulan tidak sampai 100 orang (dari gerakan Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan) akan didakan esok," kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider juga difahamkan akan ada deklarasi menyatakan sokongan ke atas kepimpinan Nik Aziz pada majlis itu.

Lazimnya Nik Aziz akan mengadakan kuliah setiap Jumaat di hadapan bangunan PAS di Kota Baru.

Justeru perhimpunan itu akan diadakan serentak dengan kuliah mingguan tersebut.

"Akan ada ucapan beberapa pemimpin dan wakil NGO, bertujuan menunjukkan bahawa Tok Guru Nik Aziz masih menerima sokongan padu daripada rakyat negeri ini," kata Zaki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu menambah, usaha itu yang digerakkan pemimpin-pemimpin PAS negeri dengan sokongan beberapa NGO bertujuan menunjukkan kepada umum bahawa rakyat negeri Kelantan masih menyokong padu kepimpinan Nik Aziz yang kini berhadapan dengan siri kontroversi dan desakan agar meletakkan jawatan.

Kelmarin Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau tidak akan tunduk kepada desakan Umno agar melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan, sebaliknya hanya akan melayan gesaan seumpama itu jika datang daripada kepimpinan PAS sendiri.

Kelmarin hampir 200 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim, Kota Baru memprotes tindakan Nik Aziz yang mendoakan kecelakaan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti.

Protes itu yang juga bertujuan mendesak Nik Aziz meletakkan jawatan adalah inisiatif NGO tersebut.

Sejak sebulan lalu Nik Aziz diserang dengan isu pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tajaan kepada Menteri Besar Kelantan itu untuk menunaikan haji tahun ini.

Ketika ditanya mengenai tanggapan ramai bahawa Nik Aziz kini keseorangan dalam menghadapi siri itu dan wujudnya elemen memboikot kepimpinan beliau, Zaki menafikan persekitaran sedemikian.

"Tidak betul, Tok Guru tidak keseorangan dalam isu-isu yang ditimbulkan ini. Setiap keputusan yang diambil adalah keputusan kolektif.

"Cuma Tok Guru yang memberikan kenyataan-kenyataan media (dalam isu membabitkan kerajaan negeri) dan dalam isu pertikaian royalti petroleum, Datuk Husam Musa berada di depan dengan memberikan kenyataan, sebab ia melibatkan isu teknikal dan beliau selaku Exco yang berkaitan kewangan," kata lagi.

"Disebabkan formula ini kita dapat bertahan di Kelantan selama 19 tahun... setiap pemimpin tidak membuat kenyataan masing-masing, tapi keputusan dibuat secara bersama... kita ada Dewan Harian di mana semua orang memberikan pandangan dan keputusan dibuat bersama," katanya.

Kelmarin Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Mohamad Daud Iraqi mengeluarkan kenyataan yang dilihat sebagai langkah mahu menyatakan sokongan padu kepada Nik Aziz untuk terus menerajui kerajaan negeri dan mempertahankan tuntutan royalti minyak lima peratus daripada kerajaan pusat.

Mohamad berkata Dewan Ulama berpendirian untuk terus menyokong beliau mengekalkan kepimpinan dalam kerajaan dan parti.

“Buat masa ini Nik Aziz dilihat masih mampu untuk meneruskan pentadbiranya.

“Ketokohan dan budaya pemerintahannya seperti yang ditunjukkan beliau masih menjadi contoh yang terbaik dan tetap disegani kawan dan lawan,” katanya.

No comments:


Sila Klik

Pages