Web TVPas


Thursday, December 17, 2009

Saman Tg Fakhry ke atas pemangku Raja

Tengku Muhammad Fakhry Petra tidak boleh mencabar keputusan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra iaitu Pemangku Raja Kelantan, yang melucutkannya daripada senarai bakal pewaris takhta, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu pada hari Rabu.

Peguam Persekutuan Kanan Datin Azizah Nawawi berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengadili isu berkenaan kerana keputusan Pemangku Raja melucutkan keanggotaan Tengku Muhammad daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan, adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

"Kami menggesa mahkamah ini untuk menolak permohonan mendapatkan kebenaran berasaskan kepada prerogatif Pemangku Raja mengikut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan mengenai pelantikan dan pembatalan anggota Majlis adalah tidak boleh diadili," kata Azizah.

Beliau membantah permohonan bagi semakan penghakiman yang difailkan oleh Tengku Muhammad Fakhry, 31, bagi membatalkan keputusan Tengku Muhammad Faris pada 16 Sept lepas dan satu deklarasi bahawa pembatalan itu adalah bercanggah dengan Perkara 7 Perlembagaan Kelantan.

Dalam permohanan itu, Tengku Muhammad Fakhry turut memohon perintah daripada mahkamah yang menghendaki Tengku Muhammad Faris untuk mengembalikan keanggotannya dalam majlis dan satu perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima anggota majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Pemangku Raja, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Kelantan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Lima responden lain ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman.

Menurut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan, majlis itu bertanggungjawab untuk menentukan bakal pengganti Sultan dan memastikan sama ada wujud kekosongan ekoran ketiadaan pemerintah negeri lebih dari setahun.

Tengku Muhammad Faris selaku Tengku Mahkota Kelantan, dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan berikutan kegeringan Sulan Kelantan pada 24 Mei lepas.

Dalam penghujahannya hari ini, Azizah berkata istilah "Duli Yang Maha Mulia" dalam Perlembagaan Kelantan meliputi Pemangku Raja dan sehubungan itu, Pemangku Raja mempunyai budi bicara mutlak mengenai isu pembatalan pelantikan kepada Majlis mengikut Perkara 7 perlembagaan negeri.

"Prerogatif seumpamanya hanya boleh dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia sendiri dan dengan itu tidak boleh diadili," katanya.

Peguam K. Shanmuga, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry berhujah bahawa Pemangku Raja tidak berkuasa penuh memandangkan baginda tidak dilantik Sultan tetapi oleh Majlis Perajaan pada 2001 apabila Sultan gering.

Beliau berkata Pemangku Raja tidak diberi kuasa untuk melaksanakan fungsinya sebagai Sultan bagi melucutkan Tengku Muhammad Fakhry daripada majlis, dan dengan bertindak sedemikian, wujud perampasan kuasa oleh Pemangku Raja.

"Oleh yang demikian, membenarkan Pemangku Raja untuk meminda komposisi majlis dan mengubah pelantikan yang dilakukan Sultan mengizinkan Pemangku Raja untuk mewujudkan tribunal yang baginda sendiri menjadi hakim, dan sedemikian menjadi faktor penentu keupayaan baginda untuk mengambil alih takhta," katanya.

"Pemangku Raja adalah waris yang pertama akan mewarisi takhta Kelantan tetapi pewarisannya itu tidak automatik, jika beliau tidak disahkan, adinda baginda Tengku Bendahara sebagai pewaris takhta kedua adalah layak, dan jika ini tidak dilakukan, maka pemohon Tengku Temenggong adalah waris selanjutnya yang akan mewarisi takhta," katanya.

Shanmuga semasa berhujah bahawa perkara itu boleh diadili, berkata: "Ini merupakan kes baik untuk diperdebatkan kerana Pemangku Raja tidak diberi kuasa untuk membuat keputusan yang dipersoalkan."

Beliau turut membangkitkan isu bahawa jika Pemangku Raja dibenarkan untuk melaksanakan kuasa budi bicara, sama ada baginda dikehendaki untuk membenarkan pewaris membela diri sebelum membuat sebarang keputusan dan alasan keputusan itu diambil.

Dalam kes ini, Shanmuga berkata tiada alasan diberikan oleh responden kepada Tengku Muhammad Fakhry akan alasan pelucutan tugasnya daripada majlis itu.

"Dihujahkan di sini bahawa penentuan sama ada eksekutif telah melaksanakan kuasanya mengikut yang diperuntukkan undang-undang atau tidak, adalah satu perkara yang Mahkamah Tinggi boleh putuskan," kata peguam itu.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan 31 Disember untuk membuat keputusan.
BERNAMA

PAstpjp : Mengikut ceritanya, ada konspirasi utk menabalkan Tg Fakhry sebagai pemangku raja selepas Sultan gering. Ini untuk meneruskan legasi bondanya untuk menguasai tampuk pemerintahan Kelantan. Tetapi dgn kuasa Allah Taala Tg Muhd Faris Petra telah berjaya dilantik sbg pemangku. Selepas pelantikan itu, baginda telah memecat ADO dan DO-Do yang bersekongkol menyapu dan songlap duit rakyat di Kelantan. Keadaan ini menimbulkan rasa cemas dan tidak puas hati di kalangan pihak yang selama ini hidup mewah dgn pelbagai projek D'R...yang dijalankan di setiap jajahan di Kelantan. Kemuncaknya penyambung legasi iaitu Tg Fakhry yg terpalit dgn isu Manohara Pinot telah dipecat oleh Tg Faris dalam Majlis Perajaan negeri Kelantan. Majlis ini terdiri daripada kerabat di raja dan mempunyai peluang untuk menjadi sultan atau sekurangnya sbg pemangku raja tetapi tindakan yg bijak dan cepat Tg Faris telah mengubah segala-galanya. Oleh itu Tg Fakhry yg tidak berpuas hati telah membawa kes ini ke mahkamah. Tetapi spt yg sedia maklum pemangku raja amat berhak atas segala tindakan mengikut perogratif dalam undang Tubuh negeri Kelantan. Kalau dulu pejabat jajahan seolah-olah berkonfrontasi dgn Kerajaan Negeri..sehingga gambar Tg Nik Aziz tidak pun dipamerkan di pejabat tersebut tetapi kini sudah berubah segala-galanya. Syukur..sumber (pelbagai sumber)

No comments:


Sila Klik

Pages