Web TVPas


Tuesday, November 10, 2009

Dari Mahazalim ke Kelab Greenboc

disedut dari kelab greenboc

Membaca berita utama Harakahdaily bertajuk "Presiden PAS arah guna IT lawan persepsi buruk", tiba-tiba saya merasa terharu lantaran saya merasakan seruan itu persis satu seruan ejekan dan hanya cuba mempersendakan blogger yang memang telah selama ini bekerja untuk parti tanpa disuruh dan diminta oleh sesiapa, hatta oleh Presiden parti sekalipun.

Sejak bila PAS mengiktiraf blogger? Hati kecil saya bertanya kerana selama ini, pimpinan PAS Pusat tidak pernah melakukan apa-apa pun untuk mempastikan kelansungan peranan blogger.

Dari muktamar tahun ke tahun sejak zaman reformasi lagi saya belum pernah dengar di dalam mana-mana ucapan dasar Presiden parti mengiktiraf golongan pejuang siber, sekalipun di luar, hakikat yang wujud, pejuang siberlah yang telah "bermati-matian" membantu dan menolong PAS dan Pakatan Rakyat (dulu Angkatan Perpaduan Ummah) untuk memenangi pilihanraya umum dan kecil.

Di dalam setiap kali pilihanraya, di belakang tabir siber, para pejuang siber akan menyengkang mata bersama komputer masing-masing mencari bahan, mengolah berita, mengumpul imej dan yang lebih hebat, mengadun dan mengedit video untuk disiarkan bagi melawan segala dakyah dan propaganda media massa arus perdana.

Mujur kini sudah ada blog dan beberapa peralatan yang memudahkan tugas-tugas itu dilaksanakan dengan pantas dan tuntas. Seorang rakan di sebuah blog boleh "copy and paste" lima artikel dalam tempoh 3 minit untuk siaran di blognya.

Tidak seperti di zaman awal perjuangan siber, dimana ketika itu belum wujud istilah blog dan blogger, yang mana keadaan lebih memeritkan dimana setiap pejuang siber perlu "belajar bahasa pemperogramman web" bagi menghasilkan portal-portal bagi tujuan penyebaran maklumat alternatif.

Dimana nak cari berita, nak olah, nak tetapkan koding web, nak tentukan design dan layout dan seumpamanya. Sebuah berita kadang-kala memerlukan 2-3 jam untuk diterbitkan sekalipun hanya dibaca di dalam tempoh 5-6 minit sahaja.

Tanpa rasa untuk berbangga diri, izinkan GB mengkisahkan pengalaman GB supaya masing-masing tahu dan faham dan kemudian boleh berlaku adil terhadap para blogger. Supaya jangan mudah untuk menuduh para pejuang siber dengan pelbagai tohmahan negatif atau melabelkan mereka pemfitnah secara wewenaangan atau semata-mata untuk mengejar hits bagi mempopularkan diri dan blog masing-masing.

GB telah berada di alam siber sekitar tahun 1996 - bermula di hari Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pada masa itu GB melihat ketidak-adilan dan kezaliman berharajalela. Pemalsuan fakta dan berita begitu ketara dilakukan oleh media massa arus perdana dan sebagai seorang ada ada serba sedikit ilmu IT (yang dibelajar secara sendirian) dan mempunyai talian internet, maka GB merasakan satu kewajipan untuk memulakan perjuangan siber.

Pada waktu itu, talian internet adalah secara dail-up dengan akaun-akuan tmnet dan jaring. Pada awal-awal zaman internet tiba ke Malaysia, sebuah modem berkelajuan 16Kbps berharga RM300-RM400!

Bayaran talian internet begitu mahal watu itu - seminit 3 sen dan bayangkan jika terpaksa menggunakan talian itu sepanjang hari... 8 jam sehari. (8x60x0.03x30hari=RM432 sebulan)

Tetapi hati gundah gelana apabila masyarakat tidak memperolehi maklumat yang adil di zaman itu. Suara-suara parti pembangkang tidak tersebar dan pada pendapat GB, adalah menjadi fardhu kifayah bagi mereka yang berkebolehan untuk tampil memulakan penyebaran maklumat yang seimbang menggunakan alam siber sebagai media.

Dan dari situlah segalanya bermula... Laman Reformasi MAHAZALIM!

Namanya itu dipilih sebagai menggambarkan satu watak dan perwatakan buruk seorang Perdana Menteri yang licik lagi hipokrit darjah tertinggi. Melakukan grand design untuk menjatuhkan Timbalan Presidennya apabila beliau menghidu Timbalannya itu telah cuba untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO ketika itu.

Anwar dipecat dan gerakan refomasi bermula.

Diringkaskan, Anwar ditahan dan diperlakukan dengan pelbagai siri kezaliamn polis sewaktu ditahan polis sehinggalah diheret ke mahkamah dan dipenjarakan.

Setiap hari ketika itu GB terpaksa mengikutinya dengan mengulas dan melaporkan hal tersebut sehinggalah Laman Refomasi Mahazalim mendapat hits tertinggi di dunia ketika itu... dengan 2 juta pengunjung setiap malam, dikunjungi terutama oleh rakyat Malaysia yang dahagakan berita alternatif, mengalahkan lamanweb-lamanweb lucah yang menjadi lamanweb popular di dunia waktu itu.

Berkerja sendirian setiap malam berbulan-bulan lamanya. Tugas penyebaran maklumat alternatif kemudian dibantu oleh pendatang-pendatang baru alam siber dengan portal-portal mereka, Mahafiraun, Marhaen, Mindarakyat dan lain-lain. Pada waktu itu tak timbul soal plagiat dan ciplak. Do whatever to distribute information as many and as fast as possible. Tujuan utama di alam siber, sebarkan maklumat sebanyak dan secepat yang mungkin sebelum minda masyarakat diracuni oleh media massa arus perdana.

GB terpaksa ke Kuala Lumpur beberapa kali mengikuti siri jelajah ceramah-ceramah Anwar untuk mendapatkan berita dan sentiasa diburu ketakutan kerana "Mahazalim" sentiasa menjadi buruan....

Banyak ketika GB terpaksa bermalam di dalam kereta usang GB waktu itu di Hentian Sebelah atau R&R berhari-hari kerana khuatir untuk pulang ke rumah. Pada waktu itu tiada hanfon, tiada streamyx, tiada boradband dan sebuah laptop termurah berharga RM6,000 - di luar kemampuan GB untuk memilikinya.

Untuk mengemaskinikan berita terpaksa meminjam talian telefon di rumah saudara-mara untuk dipasangkan kepada komputer 486 ketik itu.. dengan hard-disk cuma berkapasiti 20MB. Terpaksa ditambah berkali-kali. Kos 20 MB hard-disk ketika itu RM400 sebjji.

Tak perlu dikisahkan pahit maungnya perjalanan menjadi pejuang siber waktu itu dengan belantan terkena di kepala sewaktu melarikan diri dari hambatan FRU, semburan asid kimia, dn kamera yang telah berkali-kali ditukar kerana dirampas atau tercampak sewaktu menyelamatkan diri. (Kamera belum digital waktu itu!) Kos kamera dan filem juga wang untuk mencuci file perlu sentiasa ada setidak-tidaknya RM200-RM300.

GB tidak berkemampuan untuk menanggung segala kos.... dengan pekerjaan seorang ..., berapalah pendapatan GB waktu itu...

Tapi tugas dah dimulakan. Genggam bara api biar sampai jadi arang. Alang-alang seluk pekasam biar sampai lengan.

Tetapi dalam 1998 - apabila GB terpaksa akur dengan sunnatullah, bahawa kita ini di alam syahadah bukan alam batin, GB jatuh sakit. Tubuh zahir memerlukan penjagaan. Bertemankan seorang isteri setia dan ibu yang pengasih GB harungi juga melakukan tugas dengan setiap malam. Bahawa Perdana Menteri itu mesti ditentang habis-habisan. Bahawa kezaliman polis perlu dihentikan. Bahawa laporan media massa perlu dijawab dan dikembalikan dengan kebenaran, bahawa institusi kehakiman perlu diletakkan di tempatnya yang lebih wajar.

Dan apabila keadaan kesihatan menjadi lebih kritikal, GB terpaksa menyerahkan baton kepada orang lain. Puas mencari pengganti, tiada di dalam jemaah sendiri yang tampil, tetapi seorang sahabat dari Keadilan bersetuju mengendalikannya.

GB berrehat tetapi mengikut perkembangan. Alhamdulillah Mahazalim2 tidak menghampakan.

Sewaktu itu belum ada harakahdaily, belum ada malaysiakini. Kalau adapun Tranungkite yang diusahakan Pemuda PAS Dungun yang menyalin bulat-bulat kandungan Mahazalim. Apa perasaan GB waktu itu? Marah? Oh tidak, malah gembira, terlalu gembira kerana ada sahabat sekalipun tidak mampu menghasilkan portal sendiri tetapi sudah boleh "menyalin-tampal" dan "menyebarkan" apa yang GB telah usahakan.

Diringkaskan, 1999 - Pilihanraya Umum. APU menang besar. PAS dominan di dalam APU. Mahazalim2 yang menggantikan GB mengendalikan Laman Refomasi turut bertanding dan berjaya menjadi Ahli Parlimen, dan GB hanya mampu melafazkan kesyukuran dan GB membawa diri dengan menanggung kesakitan tidak boleh bergerak dari tempat tidur waktu itu. Tiada siapa mengetahui kecuali isteri dan ibu serta saudara-mara terdekat.

Aduhai, tiada sumber pendapatan berbulan-bulan lamanya. Kadangkala 3 beranak ini tepaksa makan cekodok setiap waktu makan tengahari dan lempeng setiap kali malam. Rasa berdosa menyelubungi diri kerana lelaki ini yang bernama GB ini dayus, tak boleh diharapkan untuk menanggung seorang isteri dan seorang ibu.

Takdir Allah, GB melayari lamanweb sebuah universiti yang menawarkan kursus ijazah, GB memohon dan diterima dengan tidak tahu dimana nak membiayai ongkosnya.

PTPN muncul dan menawarkan GB pinjaman - alhamdulillah dan bermula era baru, GB menjadi pelajar semula. Sebahagian wang digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Di univeristi inilah juga GB berkenalan dengan beberapa rakan terdiri dari golongan pensyarah yang sama-sama cintakan agama... tetapi mereka tidak mengenali inilah "mahazalim" yang mereka sibuk ceritakan selalu dengan GB.

Diringkas, GB berjaya, memadailah dengan segala kekurangan ynag GB ada untuk tamatkan pengajian dengan 3.56. Untuk membawa isteri dan ibu ke majlis graduasi itu pun jauh dari istilah mampu!

GB berkerja selepasnya, tetapi tak sesuai dengan jiwa GB.. kerana di sebuah syarikat yang dikuasai oleh sebuah parti yang tidak sejiwa dengan GB. Berhenti. Mula berniaga. Tak pandai berniaga dan tak ada bakat marketing. Lintang pukang. Hutang kelilingpinggang pulak. So, pilih free lancer sambil menjadi seorang pensyarah part-time di sebuah universiti. Tak berapa sen, memang tidak memadai untuk survive, jauh sekali kaya-raya.

Malaysiakini, harakahdaily, malaysianinsider, TKO telah menggantikan portal-portal reformasi. Syukur kerana perjuangan yang dirintis oleh GB telah kini diinstitusikan sedemikian rupa. Dan kewujudan puluhan malah ratusan blog dari negara ini dengan TVPAS, MalaysikiniTV dan TVAntara sebagai penyalur media berbentuk audio-visual menyebabkan GB merasa gembira dan puashati.

Namun GB masih terkilan, PAS dan PR belum melakukan yang terbaik untuk mengiktiraf media baru ini. Sehingga semalam Presiden PAS dengan tidak menjiwai apa yang diucapkannya sendiri, meminta PAS menggunakan IT sepenuhnya untuk melawan segala tohmahan sehingga melahirkan persepsi buruk terhadap PAS.

GB hanya menjawab di dalam hati kecil GB, kami telah melaksakannya sebelum Tuan Presiden meminta kami melakukannya. Malah portal-portal reformasi pernah meletakkan Tuan Presiden sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen dan sebagai MB Terengganu satu ketika. Syariatnya, blog-blog mengembalikan Presiden kami ke Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang dan memenangkan sekalian ramai wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk dinobatkan sebagai YB-YB supaya berkhdmat demi agama, bangsa dan tanahair. Siapa peduli nasib kami selama ini?

Namun Allah itu Maha Kaya dan Maha Berkuasa. Mujur tauhid masih mantap dan GB tersenyum puas bersyukur dihadapanNya. Tidak sia-sia menjadi anak dan murid kepada seorang ayah yang telah lama pergi.

No comments:


Sila Klik

Pages