Web TVPas


Monday, November 9, 2009

Teks Perbahasan oleh YB Khalid Samad

Terima kasih Yang diPertua atas peluang yang diberi untuk saya menyertai perbahasan Bajet. Saya berucap hari ini sebagai kononnya seorang ‘Penjenayah’ yang telah melakukan jenayah rahsia yang tidak diketahui oleh dirinya sendiri.

Keadaan di mana seseorang boleh dinyatakan mempunyai rekod jenayah tetapi tidak boleh dimaklumkan apakah jenayah yang telah dilakukannya hanya boleh berlaku di bawah pentadbiran BN. Sepertimana boleh berlakunya penghukuman ke atas seorang pembunuh tanpa diusahakan siasatan dan penghakiman ke atas pihak yang mengarahkan pembunuhan berkenaan. Atau kematian saksi dan suspek semasa di dalam siasatan tanpa mendatangkan reaksi yang serious dan bersungguh-sungguh untuk menahan dan menghukum pihak yang bersalah secara telus dan terbuka. Kesemua ini boleh kita senaraikan di dalam senarai pencapaian gemilang BN.

Begitu juga dengan persoalan royalti yang ingin diselewengkan sehingga dilihat sebagai wang ehsan, bukan hak negeri-negeri berkenaan. Saya ingin bertanya di sini ahli YB dari Sabah, Sarawak dan Terengganu adakah YB memahami apa yang telah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri semalam? Sekiranya difahami, seharusnya YB menentang usaha penyelewengan ini kerana sekiranya berdiam diri bererti YB yang datang sebagai wakil kepada rakyat negeri-negeri tersebut dengan sendirinya menyerahkan hak dan milik negeri kepada kerajaan Pusat. Pengkhianatan sebegini tidak akan dilupai oleh rakyat dan pengundi YB dan pasti YB akan dihukum oleh rakyat kelak. Takrif 3 batu nautika sebagai jarak pemilikan negeri akan bererti hak negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak yang terdapat lebih dari 3 batu nautika ini diserah kepada kerajaan Pusat. Bukan sahaja negeri Kelantan. Adakah rakyat negeri YB sekalian bersetuju dengan penyerahan hak mereka ini?

Kita tahu bahawa semenjak dulu lagi royalti dibayar kepada negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak. Istilah ‘wang ehsan’ hanya timbul selepas Terengganu diperintah PAS pada tahun 1999. Mulai tahun 2000 royalti dihentikan dan istilah wang ehsan diperkenalkan. Ianya jelas merupakan satu penipuan kerajaan BN dalam usaha mereka merampas hak rakyat negeri Terengganu yang telah memberikan mandat kepada PAS untuk memerintah. Penipuan dan pengkhianatan ini mesti ditentang supaya hak rakyat sesebuah negeri tidak dirampas dan konsep federalisma dipatuhi.

Laporan-laporan kewangan tahunan Petronas sendiri secara rasminya mengistiharkan bahawa negeri-negeri pengeluar minyak di Malaysia adalah Kelantan, Sabah, Sarawak dan Terengganu. Ini jelas menunjukkan bahawa Petronas mengiktiraf pemilikan negeri-negeri berkenaan atas minyak yang dikeluarkan. Malahan royalti telahpun dicatat sebagai telah dibayar untuk minyak milik negeri-negeri ini. Ini juga bererti bahawa selama ini, hak rakyat Kelantan telah dirampas oleh kerajaan Pusat dan pada sesi Parlimen ini, kerajaan BN ingin menutup tindakan khianat mereka dengan penggunaan istilah ‘wang ehsan’. Saya bersetuju dengan kata-kata YB Kubang Kerian, rakyat Kelantan bukan peminta sedekah. Yang diminta bukan pemberian tetapi sebaliknya hak dan milik mereka yang dinafikan mereka oleh BN sekian lama.

Selain dari itu, hari ini saya ingin membicarakan pendekatan bajet 2010. Sebelum bermula, saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB Yang diPertua atas tempoh masa yang ditetapkan di mana dengan masa yang sebegini, setiap wakil rakyat dapat menyuarakan pandangan dan pendapat berhubung bajet, perbahasan yang di antara yang terpenting yang diadakan di dewan ini. Jangan sekali-kali kita contohi tindakan dan kelakuan seperti di Perak, dengan kerajaan Lanunnya, yang telah meluluskan belanjawan atau bajetnya dalam masa 20 minit!

[Berhubung Bajet 2010, saya mengamati dengan penuh keinsafan bahawa sekali lagi ianya bajet defisit. Ini merupakan bajet defisit untuk tahun ke 13, secara berturt-turut! Mungkin bagi sebahagian YB, defisit adalah, hanya perkataan. Defisit? So what! Dengan izin. Defisit bermakna belanja melebihi pendapatan. Perbelanjaan lebihan berlaku dengan mendapatkan pinjaman. Selama 13 tahun berturut-turut, negara kita yang kaya raya ini, berpinjam dan berpinjam, tahun demi tahun, sehingga akhirnya pada 31 hb Disember 2008, hutang negara adalah sebanyak RM 306 billion. Ini 2008. Pada hujung 2009, ianya mungkin mencapai angka melebihi RM 320 billion.

Dengan bertambahnya hutang, bertambah juga ‘cost of financing’ dengan izin. Untuk 2008, cost of Financing kita adalah sebanyak RM 19 billion dan ianya terus bertambah. Pada masa yang sama, pendapatan kita untuk tahun 2010 pula diramalkan menguncup. Hutang bertambah, bunga bertambah dan pendapatan menguncup! Sambil itu, kita terus mengorek dari khazanah negara kita, minyaknya, sehingga pada tahun 2009 pendapatan dari minyak merupakan hampir 40% dari pendapatan negara. Malangnya, jumlah simpanan minyak semakin terhakis dan semakin berkurangan.

Melalui pendekatan yang sebegini, saya ingin bertanya kepada YB sekalian, apakah yang ingin kita wariskan kepada anak cucu kita? Adakah kita ingin mewariskan sebuah negara yang hutangnya semakin meningkat sehingga bayaran bunganya menjadi hampir sepertiga dari perbelanjaannya? Dan inilah apa yang akan berlaku sekiranya minyak habis dimanfaatkan dengan begitu rakus dan tidak bertanggung jawab, tidak dimanfaatkan dengan satu cara yang boleh mewujudkan satu sumber ekonomi yang lestari tanpa hasil minyak.]

Usaha mendapatkan pendapatan tambahan melalui tindakan-tindakan seperti service charge atas kad kredit, pembayaran cukai keuntungan syarikat minyak secara current year, goods service tax, penswastaan dan sebagainya adalah pendekatan yang mudah tetapi mengembalikan kos kepada rakyat. Rakyat terpaksa menanggung kos atas sebab ketidak keberkesanan dan sikap tidak berhemahnya kerajaan BN. Ia menambahkan hasil atau mengurangkan perbelanjaan tetapi bukan dengan cara yang konstruktif, sebaliknya menyempitkan ruang begerak dan berbelanja rakyat jelata. Daripada kita membebankan rakyat, tidakkah mungkin kita mengkaji kaedah pengurusan yang lebih berkesan dan bertanggung jawab, 'good governance' dengan izin, supaya kebocoran dan ketirisan tidak lagi berulang. Kebocoran dan ketirisan yang dianggarkan sebanyak RM 28 billion untuk tahun 2008 adalah jumlah yang mampu menyebabkan sesebuah kerajaan yang kenal erti malu untuk meletak jawatan. Lebih-lebih lagi sekiranya ianya merupakan satu perkara yang berulang tahun demi tahun.

Tuan yang diPertua,

Sebagai contoh, kita tahu bahawa Petronas menampung subsidi berbillion ringgit setiap tahun kepada IPP hasil jualan Gas Asli dengan harga bawah harga pasaran. Jumlah subsidi dianggarkan sebanyak RM 35.7 billion semenjak 1997. Tidakkah lebih baik sekiranya duit berbillion ini digunakan untuk membayar balik sahaja pihak IPP sebagai 'compensation' dan dengan itu membebaskan negara dari satu perjanjian yang jelas mengkhianati kepentingan negara? Atau ianya digunakan untuk menukar proses penjanaan dari jenis yang menggunakan Gas Asli kepada proses yang lebih murah? Dengan itu ia memungkinkan Gas Asli ini dijual dengan mendatangkan hasil yang lebih besar kepada negara.

Ini menjadi bertambah relevan apabila mengambil kira perancangan kerajaan untuk membangunkan stesen hidro di Terengganu dan di Pahang sedangkan kelebihan kuasa penjanaan adalah hampir 40%. Apa guna TNB membelanjakan wang sebanyak RM 5 billion untuk kuasa penjanaan tambahan baru sedangkan IPP terus diberikan keutamaan?

[Begitu juga saya menyokong cadangan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang meminta supaya kerajaan mengkaji kemungkinan membeli sahaja konsessi lebuh raya yang begitu lumayan demi menentukan keuntungan yang diperolehi mereka akan dinikmati rakyat dan bukan golongan kroni tertentu semata-mata.

Berdasarkan pengalaman penswastaan yang sebegini, rakyat berhak untuk menyangka yang terburuk terhadap ucapan YB Menteri Kewangan berhubung 'gelombang kedua penswastaan'. Ia tidak membantu rakyat dan hanya menjamin perbadanan yang berdaya maju dan yang menguntungkan yang asalnya dimilikki negara diserah kepada pihak swasta. Tidak khairan disebut kembali istilah-istilah seperti “privatisation of profits and nationalisation of losses”. Dengan izin.]

Sememangnya kerajaan BN telah berusaha mencari pengganti kepada penjana kewangan yang baru yang boleh menggantikan hasil minyak khususnya. Namun usaha-usaha ini semua gagal disebabkan tiada kesungguhan dan keikhlasan. Seperti isu cas tahunan atas kad kredit, BN hanya melihat masalah yang dihadapi sebagai peluang merompak kekayaan negara, bukan menyelesaikan masalah. Masalah dadah masih tidak diatasi walaupun berbillion telah mengalir melalui pusat-pusat serenti. Masalah sosial terus dihadapi walaupun berbillion juga dibelanjakan melalui program LPKN. Begitu jugalah nasibnya dengan usaha-usaha BN untuk membawa negara ke suatu asas ekonomi yang selain dari minyak.

Usaha menceburkan negara dalam bidang industri berat menghasilkan skandal PEWAJA. Penceburan dalam industri otomotif hanya mampu menjadikan harga kereta melambung tinggi. Hingga ke hari ini, rakyat dibebankan kegagalan BN dalam industri otomotif ini. Ada yang secara sinis menyebut usaha mengadakan sistem pengangkutan awam yang baik dan berkesan sengaja digagalkan kerana ianya akan mempunyai impak negatif terhadap jualan kereta sedangkan jualan kereta ini membawa pendapatan yang tinggi kepada kerajaan! Usaha menceburkan negara dalam bidang ICT dengan terlancarnya MSC, Cyberjaya dan sebagainya hanya melihat perbelanjaan berbillion-billion tanpa mendatangkan pulangan yang signifikan. Usaha menjadikan negara Hub pengangkutan hanya menghasilkan skandal PKFZ. Berdasarkan sejarah kegagalan yang sebegini, tidaklah hairan skepticisme yang dizahirkan sebahagian masyarakat terhadap cadangan menceburkan negara ke arah ekonomi innovative dan R&D.

Bagaimana rakyat boleh meyakini seruan ke arah Ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan ‘innovasi’ sedangkan kerajaan langsung tidak mempunyai ‘pemikiran yang innovatif’ dalam pendekatan mereka terhadap masalah yang dihadapi rakyat. ‘Automatic Pricing Mechanism’ terus digunakan semenjak 1984 untuk menentukan harga minyak dan jumlah subsidi sedangkan pada tahun 1984, harga kereta baru dalam lingkungan 20 ribu dan rakyat belum lagi dibebankan cukai kenderaan yang tinggi. Begitu juga rakyat belum lagi dibebankan budaya ‘Cash Cow’ BN dengan kutipan Tol dan sebagainya. Tidakkah kos-kos tambahan seperti ini yang mempunyai impak terus kepada kos pengangkutan rakyat sepatutnya diambil kira apabila kita ingin menentukan harga minyak untuk rakyat?

Pendekatan yang inovatif untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dan rakyat adalah apa yang diperlukan. Bukan innovatif dalam merompak hak rakyat jelata dan hak negeri dengan kaedah seperti pembohongan dengan menggunakan istilah ‘wang ehsan’ dan RON 97. Selagimana kerajaan BN tidak mahu berterus terang dengan rakyat dan ‘Call a Spade a Spade’ maka ia akan terus gagal mengemukakan sebuah bajet yang mantap dan bernas.

Kalau tidak, segala yang dikatakan hanya merupakan retorik politik dan rakyat hanya mampu menunggu skandal apa pula yang akan timbul dalam melaksanakan wawasan ini. Berapa Billion pula yang akan ‘burn’ atau hangus? Kerana wawasan dibentang tanpa pendedahan kaedah dan cara untuk melaksanakannya dengan berkesan. Hakikatnya bukan dibawah pentadbiran yang sediada.

Tan Sri Speaker, saya dalam bahasa istana, ingin pohon sembah derhaka dan menolak bajet ini.

No comments:


Sila Klik

Pages