Web TVPas

Thursday, September 17, 2009

Siapa Tn Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat, seorang ulama merangkap seorang pemimpin sebuah parti Islam yang terkenal di seluruh dunia, iaitu PAS. beliau pemegang Kad Pengenalan bernombor 310110-03-5161.

Nama penuh beliau adalah, Nik Abdul Aziz bin Nikmat @ Raja Muhammad bin Raja Banjar bin Raja Majam bin Raja Kechik bin Raja Mohammad bin Raja Abdullah bin Raja Abdur Rahman @ Raja Mir bin Raja Dewi bin Raja Sungai bin Raja Jembal.

Raja jembal adalah raja memerintah kelantan dalam kurun ke- 16. Pusat pemerintahannya ketika itu adalah di Kampung jembal, dalam jajahan Bachok.

Menurut ceritanya, keturunan Raja Jembal ini masih lagi ramai di negeri Kelantan, terutama di kawasan kedai lalat, pulau melaka dan beberapa buah kampung dalam jajahan Kota Bharu.

Menurut maklumat, didapati antara ahli kerabat Raja Jembal yang terkenal adalah Puteri Saadong yang merupakan anak angkat Cik Siti wan Kembang yang memerintah di Bahagian Hulu Kelantan pada waktu itu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai watak lembut, ucapannya berhikmat, pakaiannya sederhana dan amat mementingkan hujjah dalam semua perkara.

Apa yang lebih menarik tentang Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah, walaupun sudah menjadi Menteri Besar, beliau masih lagi dengan rutin beliau sebelum menjadi Menteri Besar, seperti memberi kuliah di Masjid Pulau Melaka dan meneruskan program-program dakwah yang dilakukan beliau sebelum itu.

Kuliah mingguan yang diadakan di masjid pulau melaka, di dewan Zulkifli Muhammad, bangunan PAS tetap diteruskan.

Kuliah beliau mendapat sambutan masyarakat setempat, dan kini sudah menjangkau di luar kelantan. semuanya berpunca dari kupasan yang diberikan oleh beliau bersifat semasa, disamping mudah difahami lantaran perumpamaan-perumpamaan yang diberikan.

KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN

Tuan Guru Nik Abdul Aziz di lahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau melaka, iaitu tempat tinggal beliau tinggal sekarang. Beliau merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup dengan isteri pertama Tuan Guru Haji Nik Mat, iaitu Raja Tijah.

Ketika berumur 6 tahun, Tuan Guru telah memasuki alam persekolahan secara formal, iaitu di sekolah kebangsaan Kedai Lalat. Di sini beliau mula belajar asas menulis dan membaca.

Tuan Guru berada dalam alam persekolah secara formal selama 3 bulan sahaja, kemudian berhenti. Bapanya, Tuan Guru Haji Nik Mat telah menghantarkannya belajar ke pondok Kenali, sebuah pondok yang diasaskan oleh seorang tokoh ulama nusantara yang tersohor, iaitu Tok kenali.

Setelah sampai peringkat remaja, beliau telah menyambung pengajiannya di Madrasah yang diasaskan oleh dua tokoh ulama yang mendapat pendidikan dari Univerisiti Darul Ulum Deoband, iaitu Tuan Guru Tuan guru Haji Abbas bin Ahmad dan Ustaz Abdullah bin Ahmad atau dikenali sebagai Ustaz Lah India. Madrasah tersebut bernama Madrasah Ittifaqiiyah, yang diasaskan pada tahun 1947, dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah anak murid yang pertama mendaftarkan diri untuk belajar di Madrasah tersebut.

Selang beberapa ketika mendapat pendidikan dari Tuan Guru Haji Abbas dan Ustaz Abdullah India ini, pada tahun 1952, tuan Guru nik Abdul Aziz telah dihantar sendiri oleh Ustaz Abdullah untuk dilanjutkan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Deoband, India.

Setelah 5 tahun berada di India, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berjaya menuntut ilmu hadis di sana dengan seorang mahaguru hadis yang terkenal ketika itu, iaitu Maulana Hussain Ahmad Madani, juga Maulana Mahmud Hasan dan Maulana Syaikh Ali. Pada tahun 1957 pula, beliau sempat juga pergi ke Pakistan untuk mengambil “daurah tafsir” di sana bagi mendalami ilmu Tafsir.

Setelah dari itu, Tuan guru Nik Abdul Aziz telah mendapat tawaran dari Muktamar Islam untuk melanjutkan pengajiannya di Mesir, yang ketika itu, Muktamar Islam dipimpin oleh Raja Saudi, Al-Malik Faisal dan presiden mesir, Anwar Sadat.

Di Mesir, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda (B.A) dalam bidang bahasa arab, dan Ijazah Sarjana (M.A) dalam bidang Perundangan Islam. kejayaan itu diambil masa oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz selama 4 tahun sahaja.

Setelah mendapat Sarjana (M.A) dalam bidang Perundangan islam, beliau membuat keputusan untuk menyambung pengajiannya di peringkat diploma pula, tetapi di kala itu, Ustaz Yusuf Bakar, bekas pensyarah di Kolej islam Klang telah berjumpa dengan beliau dan ajak beliau balik ke Tanah Air.

Maka kembalilah tuan guru Nik Abdul Aziz dari perantauan pada bulan Februari 1962.

KETERLIBATAN DALAM ARENA POLITIK

Keterlibatan beliau dalam parti politik secara rasmi adalah pada awal tahun 1967. keterlibatan beliau itu adalah di kala beliau dipilih menjadi calon pilihanraya kecil di Parlimen Kelantan Hilir bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen tersebut setelah kematian Tuan Haji Ahmad Abdullah atau dikenali sebagai Haji Ahmad Perai.

Dalam pilihanraya tersebut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya memenangi dan sekaligus mengekalkan kerusi Parlimen kelantan hilir dibawah genggaman PAS.

Dalam pilihanraya umum pada tahun 1969, sekali lagi beliau terpilih untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kawasan kelantan hilir. Kali ini, kejayaan menyebelahi Tuan Guru dengan mencapai kemenangan dengan majority yang agak tinggi juga.

Selang beberapa hari selepas pilihanraya umum, berlaku satu peristiwa hitam bagi Malaysia, iaitu tragedy berdarah rusuhan kaum yang berlaku pada 13 mei 1969. Peristiwa hitam ini amat terasa di seluruh Negara sekalipun ia tidak terasa sangat oleh penduduk di negeri Kelantan.

Ketika bahang rusuhan kaum ini semakin hangat, suatu pengisytiharan pucuk pemimpin telah berlaku. Pada 1 januari 1973, Dato’ Mohd Asri yang ketika itu menjadi menteri Besar Kelantan dan juga Pesuruh jaya Kelantan telah mengisytiharkan pencantuman kerajaan Kelantan dengan Kerajaan pusat atau dikenali dengan kerajaan campuran.

Pengumuman tersebut menimbulkan berbagai-bagai spekulasi dan konflik dalaman rakyat kelantan. Ada sebilangan yang mengisytiharkan berkecuali dan ada pula yang tetap menyokong pucuk kepimpinan parti. Memikirkan kemungkinan dibayangi igaun peristiwa 13 mei dan kepimpinan melayu menyebabkan Dato’ Mohd Asri telah membuat keputusan supaya PAS menyertai kerajaan Campuran. Makanya, terbentuklah PAS-perikatan di peringkat negeri kelantan, seterusnya ia merupakan ‘pembuka pintu’ bagi PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1974.

Dalam percantuman antara PAS dan Perikatan telah menjadi kawan di dalam proses pilihanraya umum 1974. perkongsian lambang ‘Dacing’ yang merupakan symbol pilihanraya merupakan laluan mudah bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kelantan Hilir yang kemudianya bertukar nama kepada Pangkalan Chepa.

Dalam keadaan sedemikian, percampuran antara PAS dan Perikatan memperlihatkan pelbagai krisis dan konflik yang berlaku. konflik dan krisis dalaman sememangnya menjadi perit. Di tambahi pula, pada 13 Disember 1977, PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional setelah bersama selama 4 tahun.

PAS semakin kesedihan dengan pilihanraya umum yang melibatkan kawasan parlimen kelantan sahaja yang berlaku pada 8 julai 1978. Pilihanraya ini tidak melibatkan Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kerana tindakan kerajaan barisan nasional yang telah mengenakan MAGERAN terhadap pemerintahan PAS di Kelantan.

Dalam pilihanraya tersebut, PAS hanya mampu memenangi dua kerusi sahaja, daripada dua belas kerusi parlimen yang dipertandingkan. Salah satu kerusi yang menang tersebut adalah, Parlimen Pengkalan Chepa yang diwakili oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat.

Setelah Kelantan bebas dari MAGERAN, pada 11 mac 1978, Kerajaan barisan Nasional mengisytiharkan pilihanraya diperingkat DUN pula di negeri kelantan. Dalam pilihanraya tersebut, PAS hanya berjaya mempertahankan dua kerusi sahaja daripada tiga puluh enam kerusi yang dipertandingkan, sedangkan Barisan Nasional berjaya memenangi dua puluh tiga kerusi dan BERJASA berjaya memenangan sebelah kerusi.

Dengan kekalahan teruk bagi PAS ini, menyebabkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat yang merupakan pesuruhjaya PAS Negeri kelantan telah menyusun balik organisasi parti dengan lebih teratur.

Berkat usaha bersungguh-sungguh dari Tuan Guru sebagai pesuruhjaya PAS kelantan, disamping semangat teman-teman seperjuangan, dalam pilihanraya yang berlangsung pada 1982, PAS berjaya menambah bilangan kerusi DUNnya kepada empat kerusi, dan sepuluh kerusi di peringkat parlimen, termasuk Parlimen Pangkalan Chepa yang diwakili oleh Tuan Guru sendiri.

Pilihanraya umum pada tahun 1986 menjelang. Senario politik dalam pilihanraya kali ini dilihat banyak berlaku perubahan. Antaranya adalah, dengan terjalinnya permuafakatan serta kerjasama politik antara PAS dengan Parti Sosialis Rakyat malaysia (PSRM) dan Parti Nasionalis Malaysia (NASMA).

Dalam pilihanraya kali ini, Tuan Guru di amanahkan untuk bertanding dua kerusi sekaligus, iaitu di DUN Semut api dan di parlimen Bachok dengan meninggalkan Parlimen Pangkalan Chepa.

setelah selesai berlakunya pilihanraya umum pada tahun 1986, diperlihatkan PAS berjaya memenangi sepuluh kerusi di peringkat DUN, termasuk DUN Semut Api dan satu kerusi sahaja di Peringkat Parlimen, iaitu Parlimen Pengkalan Chepa. Dengan ini, parlimen Bachok yang diwakili oleh Tuan guru telah tewas.

JADI MENTERI BESAR

Peningkatan penerimaan rakyat terhadap PAS di Kelantan semakin ketara kelihatan. Keterbuktiannya amat teserlah dengan kejayaan PAS bersama dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang terdiri dari Semangat 46, HAMIM dan BERJASA merampas Kelantan dari tangan Barisan Nasional.

Berkat kesabaran dan ketaqwaan, pilihanraya tahun 1990 menyaksikan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah telah berjaya sapu bersih 39 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 12 kerusi Parlimen.

Dengan kemenangan ini, tidak dapat tidak, PAS perlu menyediakan seorang wakilnya untuk memegang jawatan Menteri Besar. Rata-rata berpendapat, orang yang lebih layak adalah Tuan Guru, tetapi telah ditolak oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat sendiri.

Penolakan jawatan itu, menyebabkan pemimpin-pemimpin PAS ketika itu terpaksa mengadakan siri rombongan ke rumah beliau untuk memujuk agar menerima jawatan menteri besar.

Akhirnya dengan berat hati dan penuh rasa tanggungjawab, Tuan Guru menerima cadangan tersebut, seterusnya ditabalkan sebagai Menteri Besar Kelantan sehingga hari ini.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

No comments:


Sila Klik

Pages