Web TVPas


Thursday, September 17, 2009

Sikap SPR yg double standard dikecam

Dewan Pemuda Pas Terengganu mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengamalkan sikap ‘double standard’ dalam menetapkan tarikh pembuangan undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, keadaan itu terbukti apabila SPR tidak mengemukakan sebarang hujah menetapkan hari pengundian pada waktu cuti di kawasan terbabit tetapi tidak berlaku di Manek Urai, Kelantan dan Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau turut menyifatkan SPR sebagai tidak telus kerana masih lagi terikat dengan pihak lain sehingga tidak memberi ruang kepada pembangkang, sebaliknya membuka peluang kepada parti pemerintah.

“Di Bagan Pinang, Negeri Sembilan iaitu di kawasan UMNO, SPR boleh pula menetapkan hari pengundian pada waktu cuti, mungkin dengan harapan supaya Barisan Nasional (BN) menang berikutan kawasan terbabit sebelum ini disandang ADUN daripada BN.

“Ini menunjukkan SPR bersikap ‘double standard’ apabila di kawasan yang disandang Pas, tarikh pengundian ditetapkan pada hari bekerja. Kita melihat SPR masih tidak telus,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mohd Nor, faktor itu turut memperlihatkan SPR cuba mencari ruang sepenuhnya untuk melihat UMNO dan BN menang.

Bagaimanapun katanya, pemimpin UMNO perlu bersiap sedia untuk menghadapi tsunami yang akan melanda Pilihan Raya Umum ke -13 sekiranya BN kalah di Bagan Pinang.

Menurutnya, tidak mustahil kemenangan pembangkang di kawasan BN adalah petanda berlaku perubahan besar-besaran pada pilihan raya umum akan datang.

SPR menetapkan 3 Oktober depan sebagai hari penamaan calon, sementara pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pula pada 11 Oktober.

Pilihan raya kecil kawasan itu adalah yang kesembilan diadakan di negara ini selepas pilihan raya umum ke-12, Mac tahun lalu.

Pilihan raya kecil Bagan Pinang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi sebelumnya, Azman Mohd Noor daripada BN pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah. -SH

No comments:


Sila Klik

Pages