Web TVPas


Tuesday, January 5, 2010

Kenyataan Rasmi PAS tentang kalimah Allah dan pandangan Dr Harun Din

Kenyataan rasmi PAS

PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11
Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Pandangan Dr Harun Din

BANGI: Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

"Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka.

"Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Tokoh agama itu turut melahirkan kekesalannya terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.

"Saya harapkan orang-orang ini boleh bersatu pandangan, memanglah setiap orang itu ada kebebasan bersuara.

"Kalau hal politik memanglah ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.

"Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran," katanya tanpa menyebut secara khusus blog-blog berkenaan.

Baru-baru ini Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad dalam blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan sebuah akhbar mingguan katolik.

Pandangan beliau itu menimbulkan reaksi negatif daripada banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang menggesa Ahli Parlimen Shah Alam itu supaya keluar PAS.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit akhbar itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarangnya menggunakan perkataan Allah adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Dalam pada itu, Haron din turut meragui niat akhbar berkenaan yang bertegas mahu mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

"Kenapa sekarang nak gunakan nama Allah? Saya yakin mesti ada niat yang tersurat dan tersirat.

"Kalau niat mereka baik, saya nasihatkan supaya jangan gunakan kalimah itu kerana ia tidak baik untuk kita umat Islam... sesuatu yang mendatangkan keburukan mestilah dicegah," katanya.

Selain itu Haron Din berkata, pada masa akan datang perkara yang melibatkan hal agama sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah.

"Hal Allah ini adalah hal agama, jadi tempat penyelesaiannya adalah di Mahkamah Syariah.

"Kenapa nak bawa kes ini ke Mahkamah Sivil? Saya menyeru kes ini supaya kes ini diselesaikan di Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau juga meminta semua pihak termasuk kerajaan dan Majlis Raja-Raja supaya segera menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya merayu Raja-Raja Melayu supaya jangan memandang ringan perkara ini, selesaikan dengan cara setiakawan dan faham memahami perasaan masing-masing," katanya. Sumber Mstar


Pastpjp : Aku berpesan agar ahli jamaah sumer agar bersatu dalam hal ini. Jangan kita mengiyakan terhadap apa yang batil..sesungguhnya penggunaan kalimah Allah ini suatu yang perlu dipertahankan oleh kita semua. Jangan kerana nak undi kita sokong juga keputusan yang jelas menghina Islam ini. Wallahuallam

No comments:


Sila Klik

Pages