Web TVPas

Thursday, January 14, 2010

Luahan hati seorang perempuan Cina terhadap PAS

Selena Tay
Saya telah menjadi seorang pemerhati politik sejak tahun 1985 lagi. Pada masa itu sehinggalah tahun 2008 sebagai ahli sebuah keluarga Cina yang menetap di Kuala Lumpur, saya mempunyai satu pendapat sahaja berkenaan dengan PAS iaitu PAS ialah sebuah parti yang agak fanatik.

Walaupun ahli-ahli keluarga saya telah mengundi parti DAP sejak tahun 1990 lagi, apabila DAP berkerjasama dengan PAS pada tahun 1999 dalam Barisan Alternatif, kami telah mengundi Barisan Nasional (BN).

Semua ahli-ahli keluarga saya termasuk saudara-mara dan juga rakan-rakan Cina saya yang lain amat menggeruni PAS sebab pada masa itu kami berpendapat bahawa PAS ialah parti yang amat merbahaya sebab PAS tidak peduli dengan kaum lain dan mempunyai fikiran yang sempit.

Tetapi semua itu telah berubah pada Pilihanraya Umum tahun 2008 oleh kerana kami sudah muak dengan gejala rasuah dalam BN dan oleh itu walaupun DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR, kami telah mengundi DAP.

Selepas Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak, kami mendengar berita bahawa beliau amat rajin dan berusaha membantu semua kaum dan golongan masyarakat yang miskin tanpa mengira bangsa dan ugama. Beliau juga seorang yang telus, ikhlas dan berwibawa. Ini serba sedikit telah mengubah fikiran kami terhadap PAS.

Tetapi pada Februari 2009, apabila BN merampas kuasa di Perak, kami telah 100% menyokong PAS sebab kami telah melihat dengan amat jelas bahawa yang fanatik dan yang gilakan kuasa ialah BN.

Dan pada Januari tahun ini pula, sekali lagi BN telah menunjukkan belangnya. Kali ini melibatkan soal ugama pula dimana 2 sepupu orang kuat UMNO telah membuat kenyataan bahawa mereka tidak boleh menghalang orang Islam yang hendak mengadakan protes tentang keputusan mahkamah membenarkan akhbar Katolik Herald menggunakan perkataan Allah dalam seksyen Bahasa Malaysianya.

Manakala pemimpin-pemimpin PAS pula seperti Tuan Guru Nik Aziz, Salahuddin Ayub, Khalid Samad dan Dr. Dzulkefly Ahmad telah mengutuk dengan sekeras-kerasnya pembakaran gereja Metro Tabernacle dan serangan keatas gereja-gereja yang lain. Selepas ini, 2 sepupu dari UMNO ini cuba pula buat ‘damage control’. Tetapi saya yakin orangramai tidak lagi mempercayai dengan lakonan sandiwara mereka yang bodoh itu.

Akhirkata, sebagai seorang yang berugama Katolik saya ingin juga menyatakan bahawa saya rasa amat terharu dengan sokongan yang diberi oleh PAS dalam hal ini. Masa telah tiba. Saya menggesa rakyat untuk membuka mata mereka. Bukan sahaja PAS For All tetapi PAS All The Way.

14hb Jan 2010

sumber : harakah daily..

No comments:


Sila Klik

Pages