Web TVPas


Thursday, April 22, 2010

Isu Felda Sungai Buaya ‘barah’ hakis sokongan pengundi

Oleh G. Manimaran

HULU SELANGOR, 22 April — “Pampasan & Interchange, itu hak kami... 16 tahun ditipu, kami ada harga diri.” Demikian mesej salah satu kain rentang yang menyambut kedatangan tetamu-tetamu ke kawasan Sungai Buaya atau satu ketika dahulu dikenali sebagai Felda Sungai Buaya.

Selain mengharapkan tanah diambil dibayar dengan ganjaran sewajarnya yang dijanjikan, peneroka kawasan berkenaan juga menuntut satu persimpangan disediakan untuk dihubungkan dengan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Jadi mereka gembira kerana persetujuan membina persimpangan itu sudah dicapai tetapi isu besar ialah pampasan hampir 80 peratus yang belum diperoleh lagi.

Kain rentang (gambar) ini sebahagian daripada puluhan kain rentang yang menghiasi kawasan penempatan felda ini.

Di sebalik mesej kain rentang terletak keluhan dan rintihan warga peneroka Felda Sungai Buaya yang masih menunggu janji kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang dibuat 16 tahun lalu. Kerajaan negeri ketika itu diterajui Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati kerja-kerja memasang kain-kain rentang ini bukan perkara baru di kawasan Hulu Selangor kerana setiap kali berlangsungnya pilihan raya ia akan muncul untuk menarik perhatian ramai.

Kali ini isu ini mendapat tempat khusus ketika berlangsungnya pilihan raya kecil.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Sungai Buaya Barat, Akhir Diran berkata pihaknya sudah memberikan memorandum tuntutan kepada parti-parti yang bertanding bahawa pihak yang boleh menyelesaikan masalah ini secara muktamad dan selama-lamanya akan memperoleh undi mereka.

“Kami sudah menghantar memorandum ini baru-baru,” kata Akhir ketika ditemui majlis kempen anjuran Umno-BN di kawasan Felda Sungai Buaya Barat baru-baru ini.

“Ketika tanah kami diserahkan kepada pemaju, ketika itu ada 363 peneroka... kini tinggal 72 orang sahaja, tolak mereka yang sudah meninggal dunia,” kata Akhir, dalam 50-an, yang merupakan generasi kedua peneroka Felda Sungai Buaya ini.

Menyeberang jalan kedengaran kempen anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR). PKR dan BN meletakkan calon masing-masing pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor ini.


Bahagian Hulu Selangor terdiri daripada beberapa penempatan felda iaitu Sungai Tengi, Soeharto, Gedangsa, Sungai Tengi Selatan dan Sungai Buaya.

Bagaimanapun Felda Sungai Buaya telah diserahkan kepada syarikat swasta untuk dimajukan. Jadi, ia hilang gelaran felda tetapi masalah mereka belum selesai sehingga kini.

The Malaysian Insider dimaklumkan bahawa peneroka Felda Sungai Buaya pernah dijanjikan akan menerima kira-kira RM1 juta seorang sebaik sahaja mereka bersedia untuk menjual tanah mereka kepada syarikat pemaju pada penghujung 1994. Mereka seramai 363 peneroka menjual tanah itu kepada Syarikat Murnia Jaya Development Berhad.

Menurut Akhir, Murnia Jaya hanya menjelaskan sekitar 20 peratus wang yang dijanjikan. Pada 4 Sept 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam memberikan Murnia Jaya selama setahun setengah untuk melunaskan baki kepada 34 daripada peneroka yang membawa kes ini.

Peneroka-peneroka berkenaan menandatangai surat perjanjian menjual tanah mereka seluas 1,335 hektar kepada syarikat pemaju tersebut dengan janji mereka akan menjadi jutawan sebagaimana pernah disaksikan di Negeri Sembilan beberapa tahun lalu.

Disebabkan beberapa faktor termasuk kegawatan ekonomi 1997/98, kawasan berkenaan tidak berjaya dibangunkan sebagaimana dijanjikan.

Peneroka masih tunggu baki wang RM360 juta. Bagi tanah seluas 640 hektar belum dibangunkan.

Menjadi isu politik

Isu ini terus-menerus menjadi satu modal politik ketika setiap pilihan raya. Malah perkara ini turut dibangkitkan dalam satu kempen di bandar Sungai Buaya yang didiami sebahagian bekas peneroka felda berkenaan.

“Sebahagian daripada baki bekas peneroka ada yang tinggal di sini dan ada yang masih tinggal di kawasan tanah felda yang tinggal tanpa dibangunkan oleh syarikat terbabit.

“Ada yang masih meletakkan harapan pada saki-baki pokok getah, yang menghasilkan pendapatan sekitar RM100 sebulan... ini nasib mereka sekarang,” kata Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman kepada The Malaysian Insider selepas berkempen tengah malam tadi.

“Kami mengharapkan bantuan kerajaan khususnya kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah ini... ini sangat penting demi kepentingan peneroka dan penduduk di sini,” kata beliau dengan merujuk kepada keterdapatan kira-kira 1,700 pengundi di kawasan Sungai Buaya.

Mazlan yang juga anggota Jawatankausa Pusat PAS berkata, pihaknya menjangkakan kerajaan negeri akan membuat pengumuman penting Sabtu ini pada majlis Himpunan Warga Peneroka Felda.

Seorang penghuni Bukit Beruntung yang ada hubungan rapat dengan keluarga peneroka Sungai Buaya mengakui masalah peneroka Sungai Buaya ini akan menentukan menang kalah seseorang calon dan parti.

“Masalah membabitkan peneroka Felda Sungai Buaya ini seakan-akan jangkitan barah... dikatakan kanser kerana masalah ini merebak daripada masalah penduduk Sungai Buaya kepada masalah seluruh kawasan Hulu Selangor.

“Mengapa saya mengatakan begitu? Ini kerana masalah ini kini dilihat bukan sahaja membabitkan penduduk Sungai Buaya, tetapi pada hari ini apabila nasib mereka diabaikan, ia seolah-olah merebak ke seluruh kawasan Hulu Selangor.

“Ini kerana sanak saudara mereka, kawan-kawan mereka tinggal di kawasan Bukit Beruntung, Bukit Sentosa dan kawasan-kawasan sekitar yang lain, di mana masalah dan janji yang tidak ditunai sejak 15 tahun lalu turut mempengaruhi pengundi dan penduduk lain... mereka kata jangan buat janji kalau tak boleh tunai,” katanya.

Kesan akibat tindakan mengabaikan mereka, katanya, telah dapat dilihat pada Mac 2008 - membawa kepada kekalahan kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Membuktikan dakwaan itu ialah daripada 1,700 undi di Sungai Buaya, calon PKR memperoleh 565 undi manakala calon BN pula menerima 698 undi manakala di Bukit Beruntung pula, seramai 928 undi menuju kepada calon PKR dan hanya 645 kepada calon BN. Bukit Beruntung menyediakan sebanyak 1,962 undi. Undi Bandar Sungai Buaya juga memihak kepada calon PKR di mana daripada 549 undi diperuntukkan, sebanyak 310 undi diterima oleh calon PKR manakala 134 undi kepada calon BN.

Di daerah mengundi Bukit Sentosa 1 hingga 5, daripada 1,493 undi yang sedia ada, 718 undi diterima calon PKR dan 448 undi diterima calon BN. Sebanyak 401 daripada 764 undi Bukit Sentosa 6 hingga 12 diterima oleh calon PKR dan 254 undi diterima oleh calon BN.

“Jika dihalusi secara kawasan-kawasan sekitar Felda Sungai Buaya, saya anggarkan ada hampir 15,000 undi... di mana jika dilihat secara kasar, jika masalah besar ini diselesaikan, parti yang dapat menyelesaikan masalah ini akan memperoleh undi menentukan kemenangan mereka.

“Jadi persoalannya senang sahaja... selesaikan masalah ini dan siri masalah lain di kawasan lain antaranya di Bukit Beruntung,” katanya.

No comments:


Sila Klik

Pages