Web TVPas


Saturday, April 17, 2010

'Kehangatan' di Kuala Kubu Bharu

Oleh G. Manimaran

HULU SELANGOR, 16 April — Kuala Kubu Baru atau terkenal dengan singkat “KKB” dibanjiri dengan lautan manusia dari seluruh negara bagi “memeriahkan” proses penamaan calon pilihan raya kecil ke-10 dan yang pertama di Selangor sejak Mac 2008.

Proses penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor ini, satu lagi pilihan raya kecil yang sengit khususnya antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), bermula 9 pagi.

Penyokong-penyokong parti utama yang bertanding berkumpul di kawasan sekitar bandar Kuala Kubu Baru sejak 6 pagi tadi.

Barisan calon bakal bertanding dijangka diketahui dua jam kemudian.

Ketika 37 borang penamaan calon sudah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat semalam, BN dan PR serta dua calon Bebas telah mengesahkan persaingan mereka.

BN menurunkan Ketua Penerangan MIC pusat P. Kamalanathan, yang dipilih hanya beberapa jam sebelum pengumuman rasmi parti itu di sebalik kemelut pemilihan calon manakala PR akan meletakkan anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.

Kamalanathan merupakan muka baru dalam pilihan raya manakala Zaid pernah bertanding di kerusi Kota Baru pada 2004.

Bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon pagi ini jalan dari Dataran Kuala Kubu Baru menghala ke pekan itu dijadikan laluan sehala.

Bermula pukul 7 pagi ini sehingga tengah hari ini, jalan itu dijadikan sebagai laluan sehala dan kenderaan yang menghala keluar diminta menggunakan laluan Ampang Pecah menuju ke Rasa, kata polis.

Seramai 1,000 anggota dan pegawai akan bertugas bagi memastikan keselamatan masyarakat serta kelancaran perjalanan pilihan raya kecil tersebut.

Walaupun SPR meminta semua parti yang bertanding tidak membawa penyokong yang ramai ke pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini tetapi ia tidak mematahkan semangat penyokong masing-masing.

Setakat 7 pagi ini kira-kira 3,000 penyokong BN dan PR — terdiri pelbagai umur berkumpul jalan-jalan menuju ke kompleks sukan itu.

Semalam Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kehadiran ramai penyokong akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu rutin harian penduduk tempatan.

“Memandangkan pekan Kuala Kubu Baru tidak besar, kami meminta pemimpin parti menasihatkan penyokong masing-masing supaya berdisiplin dan mematuhi arahan,” katanya.

SPR telah membahagikan kawasan untuk pemimpin dan calon bersama penyokong parti bertanding iaitu BN dan PKR, yang diwakili PKR berkumpul dengan menjarakkan 100m antara mereka.

Abdul Aziz berkata pihaknya turut menyediakan khemah bagi 100 wakil parti pada hari penamaan calon iaitu hanya mereka yang mempunyai pas yang dikeluarkan oleh SPR sahaja dibenarkan memasuki kawasan di dewan itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lalu kerana barah otak.

Pengundian akan diadakan pada 25 April ini.

No comments:


Sila Klik

Pages