KUALA LUMPUR 15 Julai — Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengesahkan yang beliau sedang mempertimbangkan dengan serius untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti dijangka diadakan tahun depan.
Ketua Pemuda penggal pertama ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Betullah apa yang ditulis dalam Agendadaily itu,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia.
Menurut laporan Agendadaily semalam, Khairy sedang menimbangkan secara serius untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti nanti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, keputusannya untuk melepaskan jawatan itu semata-mata kerana mahu memberi laluan kepada bakat baru.
“Ya, memang saya ada berkata begitu. Walaupun belum muktamad lagi tetapi saya memang menimbangkan secara serius untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda,” katanya.
Khairy berkata demikian apabila ditanya sama ada benar atau tidak beliau ada membuat kenyataan mengenai hal itu ketika merasmikan satu mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian di Pahang baru-baru ini.
Awal tahun ini, wujud desakan supaya Khairy berundur untuk menyelamatkan pergerakan itu.
Seorang Exconya, Mohd Hishamuddin Yahaya dilaporkan membentangkan beberapa bukti yang menunjukkan kepimpinan pergerakan yang diterajui Khairy itu tidak berminat untuk membantu parti dan kerajaan menarik sokongan sebaliknya mengugut agar diberi jawatan.
Difahamkan, Hishamuddin mencadangkan dua usul sama ada Khairy meletakkan jawatan dan membenarkan Ketua Pemuda dipangku oleh Datuk Razali Ibrahim atau keseluruhan Exco meletakkan jawatan bagi membolehkan satu pemilihan baru dibuat secepat mungkin.
Khairy menggantikan Datuk Seri Hishammudin Hussein sebagai Ketua Pemuda Umno setelah memenangi jawatan itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pada pemilihan parti yang lalu.
Walaupun memenangi jawatan itu tahun lalu Khairy beliau lagi menganggotai Kabinet Najib.
No comments:
Post a Comment