Oleh: BayangDiAir
"Tiada seorang pun yang kedudukannya lebih tinggi daripada undang-undang. Sekiranya Perdana Menteri terlibat dalam kes jenayah seperti pembunuhan, rasuah dan konspirasi yang bertentangan dengan undang-undang, PM semestinya dibawa ke muka pengadilan, dibicarakan dan menerima hukuman yang telah termaktub.
Inilah hakikat keadilan undang-undang yang diterimapakai oleh negara bertamadun. Sebarang usaha sama ada daripada PM atau melalui kroninya untuk menyembunyikan fakta, menafikan maklumat dan menyelamatkan PM dari diheret ke mahkamah dan diselamatkan daripada hukuman adalah perbuatan yang tidak adil dan terkutuk. Masalahnya ialah bagaimanakah dan sejauh manakah kuat dan beraninya pegawai dan pelaksana undang-undang untuk bertindak menegakkan keadilan?
Semua orang berpegang kepada keadilan umum bahawa PM kita tidak terlibat dengan sebarang jenayah kerana tiada bukti untuk mensabitkan beliau. Balasundram dan Raja Petra mendakwa ada bukti. Bahan buktinya mungkin kuat. Namun bahan bukti juga mungkin dipalsukan untuk mengalahkan musuh politik. Bagaimana rakyat dapat memastikan bahan bukti benar sekiranya bahan itu tidak pernah dibawa kepada perbicaraan mahkamah?
Selain kroni PM, rakyat jelata yang menjadi ahli UMNO juga mungkin tidak rela PM dibawa ke mahkamah walaupun mereka sangsi terhadap ‘kebersihan’ PM. Ini membawa interpretasi bahawa jika PM ada kes sekalipun , tidak usahlah dibongkarkan di mahkamah. Sekiranya PM didapati bersalah, kita (UMNO/BN) juga yang menerima padahfnya. Kerajaan kita mungkin tumbang. Daripada tumbang, baiklah PM kita selamat dan tidak disabitkan.Demikianlah episod manusia yang meletakkan otak di kepala lututnya. Orang seperti ini susah untuk mengerti nilai kemanusiaannya. Mereka sentiasa dibelit oleh khurafat bahawa hanya BN boleh memerintah dan memberi mereka kesenangan. Mereka tidak pernah nampak bagaimana rakyat Kelantan hidup aman dan makmur di bawah PAS. Kalau PAS menafikan hak rakyat untuk mendapat keamanan dan kemakmuran sudah lama mereka mengenyahkan PAS dari tampuk kuasa. Semasa PAS memerintah Terengganu, rakyat mendapat kenikmatan berganda. Ketika banjir berlaku, kerajaan PAS beri bantuan dan UMNO juga beri bantuan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberi bantuan dan khidmat kepada rakyat. Di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang kini, rakyat masih mendapat hak-hak mereka malah ditambah-tambah lagi bantuan dan peluang kepada rakyat.
Rakyat terbanyak jangan terkeliru akan situasi yang berbeza antara mereka dengan ahli politik, kontraktor, tauke judi dan spesies seumpamanya. Mereka sangat takut BN jatuh kerana kepentingan peribadi mereka. Golongan ini takut rasuah, penyelewengan dan jenayah mereka terbongkar. Mereka takut tidak dapat lagi mengaut kekayaan. Syarikat-syarikat besar mereka akan muflis apabila projek tidak dirundingkan lagi dengan mereka. Golongan inilah yang takut BN kalah. Mereka ada sebab dan alasan. Justeru itu mereka berjuang habis-habisan dengan cara yang wajar mahupun tidak wajar. Menipu, bohong, eksploit, fitnah, menakut-nakutkan, dan berpura-pura adalah kerja mereka.
Kerja ini tiada kena- mengena dengan rakyat terbanyak. Apabila Pakatan Rakyat memerintah, rakyat tetap mendapat hak-hak mereka malah kebajikan mereka lagi terpelihara. Apabila tiada lagi ketirisan ekonomi, kerajaan Pakatan Rakyat mampu menyalurkan lebih banyak bantuan dan kebajikan kepada rakyat. Contohnya, di Kedah, kerajaan PAS/Pakatan Rakyat dapat mengaut hasil perhutanan berganda-ganda berbanding hasil yang diperoleh oleh BN semasa mereka memerintah. Dengan hasil yang berlipat kali ganda ini, ekonomi negeri dan rakyat dapat dijana dengan lebih baik.
Berbalik kepada PM dan undang-undang. PM dengan kuasa dan bala tentera di sekelilingnya mungkin tidak akan sampai ke kandang mahkamah. Tetapi suara dan undi rakyat mampu melaksanakannya. Ketika itu barulah PM dapat membuktikan bahawa beliau bersih daripada segala tohmahan dan tuduhan. Itulah yang kita harapkan. Rakyat tetap tidak rugi apa-apa. Mereka mempunyai peluang 5 tahun sekali untuk ‘mengajar’ kerajaan. Mereka hanya boleh menjadi ‘guru’ hanya apabila mereka pandai menghargai hak-hak mereka sebagai warganegara. Dan untuk menjadi ‘guru’, mereka perlu pastikan bahawa otak mereka sentiasa berada di kepala.
"
No comments:
Post a Comment