Web TVPas

Sunday, May 24, 2009

Apabila sistem kehakiman dilacurkan

Benarkah tidak ada rampasan kuasa di Perak? UMNO menafikan adanya rampasan kuasa, kerana menurut para pemimpin UMNO semuanya dilakukan menurut prinsip-prinsip demokrasi dan mengikut undang-undang. Tetapi rakyat nampaknya tetap menolak ketetapan UMNO dan sekutunya, kerana menurut rakyat terdapat unsur samseng dalam menentukan prinsip demokrasi tadi.

Tiga orang ahli DUN yang berpaling tadah kerana sebab-sebab peribadi, dengan gesaan dan sokongan dan “paksaan” UMNO, telah berjaya menimbulkan kelam-kabut di Perak dengan sokongan dan dukungan UMNO sepenuhnya.

Yang paling menarik dalam kes ini ialah undang-undang dan mahkamah yang melaksanakan undang-undang menyerlahkan wajahnya yang paling murni dan benar, yang sungguh menggembirakan UMNO yang sejak berkuasa mulai Ogos 1957 telah membuat undang-undang baru dan mengubah undang-undang yang ada untuk memastikan wajah UMNO selalu ceria dengan senyuman setiap kali keputusan dibuat oleh para hakim di mahkamah mereka.

Dalam kes Perak, rampasan kuasa (atau peralihan kuasa dalam bahasa yang lunak, yang tidak berjaya menutup hakikat maksud rampasan kuasa itu) sudah jelas dibenarkan asal saja sesuai dengan undang-undang dan Perlembagaan.Banyak kes yang berlaku di Malaysia, dan dalam menentukan kes Perak, kes-kes rampasan kuasa itu dijadikan panduan dalam membuat keputusan, seperti yang jelas dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang memakai kes-kes itu.

Jadi dari segi undang-undang, tidak ada rampasan kuasa seperti tidak adanya penipuan dalam bentuk apa sekali pun, walaupun perbuatan yang dibenarkan itu seratus peratus adalah penipuan yang terang-terangan. Jika anda faham hujah ini, anda akan mengerti mengapa Rasulullah SAW menegaskan, sekiranya Fatimah anak Muhammad mencuri, nescaya tangannya dipotong.

Perkara ini disebutkan di sini kerana dalam Islam keadilan tidak memilih pihak tertentu yang boleh dikecualikan; seperti yang sering berlaku dalam mahkamah. Dalam kes Perak, sudah jelas hakim mahkamah tinggi tidak tahu membaca undang-undang dan agak keliru dalam memahami situasi politik sebenar. Itulah keputusan tiga orang hakim Mahkamah Rayuan, yang melontarkan dengan angkuh keputusan Mahkamah Tinggi dengan alasan yang cukup memalukan, iaitu hakimnya telah melakukan kesalahan. Bolehkah hakim yang bersalah dihukum? Tidak boleh.

Yang terjadi ialah pihak yang menuntut keadilan akan kehilangan keadilan yang terawang-awang pada peringkat awal, kemudian “keadilan” itu berpindah ke tangan lain (yang berlengas dengan tahi ayam busuk ketika menyerang raban DUN Perak mencuri ayam yang boleh dicuri) dalam sekelip mata. Jika hal ini terjadi dalam sebuah drama, atau melodrama sekali pun, tentu penonton akan menjeritkan “Mana boleh begitu, tak masuk akal!” Tetapi logik drama tidak sama dengan logik undang-undang.

Oleh itu seorang hakim yang tidak arif (meskipun digelar Yang Arif) seperti dalam kes Perak ini boleh dijadikan arif dengan mengetepikan keputusannya oleh sekumpulan hakikm lain yang lebih arif dalam erti yahng lebih luas (yakni tidak semestinya dalam undang-undang saja). Oleh itu drama dalam undang-undang jauh lebih menarik daripada drama yang dipentaskan secara olok-olok di Istana Budaya sebagai sebuah cerita. Itulah sebabnya orang tua-tua kita bercerita dalam dongeng mereka tentang Hakim Beruk yang bijaksana itu. Cerita itu tetap memikat kita semua kerana peristiwa itu diulang setiap masa sepanjang zaman.

Yang boleh dilakukan rakyat hanya tertawa melihat kebijaksanaan Hakim Beruk menipu dua orang petani yang menyerahkan pisang besarnya untuk dihakimi oleh beruk. Keputusan beruk untuk memakan pisang itu semuanya adalah bijak, kerana itulah makanannya. Seperti ular menelan katak dalam lagu “Bangau Oh Bangau”. Itulah hakikat undang-undang dan keadilan yang disahkan sama ada dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Ke mana pun kita tarik makna keadilan itu, rakyatlah sebenarnya yang menentukan keadilan untuk mereka, kerana merekalah yang memilih pembuat undang-undang. Oleh itu janganlah salahkan pemimpin atau kakitangan kerajaan dan sesiapa sekali pun, termasuk para hakim yang arif, jika mereka berasa tertipu dalam sandiwara Hakim Beruk yang diceritakan oleh datuk nenek mereka. [23/5/2009] -Mohd Affandi Hassan

No comments:


Sila Klik

Pages