Web TVPas

Friday, May 22, 2009

Pukul 3.30 petang ini...tungguuuuuu

Mahkamah Rayuan akan mengumumkan petang Jumaat keputusannya mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop, menetapkan pukul 3.30 petang Jumaat untuk memberikan keputusannya berhubung rayuan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional terhadap perintah Mahkamah Tinggi bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas adalah Menteri Besar yang sah.


Panel tiga hakim itu hari ini mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Mohammad Nizar dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah.

Permohonan Mohammad Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menetapkan bahawa Mohammad Nizar tidak melepaskan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri Perak.

Ekoran keputusan itu, peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry, menyenaraikan 24 alasan bagi membuat rayuan, dengan meminta mahkamah membuat ketetapan mengenai sembilan isu.

"Soalnya ialah sama ada hakim yang mengendalikan kes itu membuat tafsiran yang betul mengenai Perkara 16, 18 dan 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak. Saya ingin berhujah bahawa Yang Arif Hakim berkeaan telah terkhilaf," katanya.

Beliau berkata Perkara 16 amat jelas bahawa apabila seorang Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan, dia perlu meletak jawatan.

"Ia tidak menyatakan beliau mesti kembali ke Dewan (untuk hadapi undi tidak percaya," kata Abraham.

Beliau berkata hakim berkenaan juga tersilap kerana mengandaikan bahawa Sultan Perak tidak ada kuasa untuk memastikan sama ada terdapat satu kebuntuan dalam Dewan Undangan Negeri atau sama ada Mohammad Nizar telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan.

"Kami juga ingin mengemukakan di sini bahawa undi tidak percaya bukanlah satu-satunya jalan untuk memastikan bahawa responden (Mohammad Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota," kata Abraham.

Beliau berhujah bahawa mengikut Perlembagaan, tidak ada peruntukan khusus supaya undi tidak percaya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri bagi memastikan Menteri Besar telah kehilangan kepercayaan.

Dalam penghujahannya, Abraham juga berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusannya tanpa mengambil kira fakta tepat dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

"Penghakiman itu, secara menyeluruh, tidak mengambil kira fakta dan dokumen berkenaan dan ini menjadikan pengisytiharan yang dibuat Mahkamah Tinggi, adalah silap," katanya.

Abraham berkata bukti dokumen menunjukkan tidak wujud kebuntuan dalam politik Perak sebelum Mohammad Nizar menghadap Sultan Perak pada 4 Feb.

"Ini kerana, pada 3 Feb, tiga anggota dewan undangan negeri -- Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), telah mengemukakan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan kepada baginda bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Nizar dan berikrar menyokong Barisan Nasional.

"Surat berkenaan diterima Sultan pada pukul 3 petang, iaitu sebelum Sultan menerima menghadap Nizar pada pukul 5 petang. Sehingga 5 petang, apabila Nizar memohon pembubaran itu, bagaimanakah keadaan politik di Perak ketika itu? Yang Arif hakim perbicaraan telah gagal menimbangkan dan mengambil kira sepenuhnya perkara ini dalam penghakiman beliau," katanya.

Dalam hujahnya, Abraham seterusnya berkata pada 5 Feb, sebelum Sultan Azlan Shah membuat keputusan tentang permohonan Mohammad Nizar agar membubarkan dewan undangan negeri, baginda telah menerima menghadap dan menemubual Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee, bagi memastikan sama ada Barisan Nasional mendapat sokongan mereka.

Baginda juga menerima menghadap 28 Adun lain, yang mengikrarkan sokongan mereka terhadap BN, bagi memastikan parti gabungan itu mendapat keyakinan majoriti daripada dewan, katanya.

"Setelah berpuas hati yang BN mempunyai majoriti, baginda mengeluarkan kenyataan media yang menyatakan bahawa Mohammad Nizar telah hilang keyakinan majoriti serta meminta beliau berundur," katanya.

Sementara itu, dalam penghujahannya, Abdul Gani berkata Mohammad Nizar tidak boleh mendakwa beliau mendapat keyakinan majoriti kerana terdapat jumlah undi sama banyak iaitu 28 bagi kedua-dua pihak (Pakatan dan Barisan Nasional).

"Dalam kes ini, 50-50. Ia bererti tidak ada majoriti atau minoriti. Malah, responden (Mohammad Nizar) mendapat 28 undi, termasuk Speaker V.Sivakumar, tapi mengikut peraturan tetap, speaker tidak boleh mengundi," katanya.

Abdul Gani juga berkata apabila Mohammad Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, beliau mengaku berlaku kebuntuan dalam dewan undangan negeri itu.

"Kebuntuan bererti tidak ada undi majoriti atau minoriti. Bagaimana pula, pada mulanya, Mohammad Nizar berkata beliau mendapat undi majoriti, tapi pada waktu yang sama, mendakwa wujud kebuntuan," katanya.

Pada perbicaran sebelah petang, peguam Sulaiman Abdullah, yang mewakili Mohammad Nizar, dalam hujahnya berkata mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Perak, Menteri Besar tidak memegang jawatan atas perkenan Sultan, tetapi berdasarkan keyakinan anggota dewan undangan negeri, yang beliau mempunyai tanggungjawab terhadap mereka.

Oleh yang demikian, Mohammad Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan. Mohammad Nizar hanya boleh dipecat selepas undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota dewan undangan negeri, katanya.

Sulaiman berkata Hakim Abdul Aziz bertindak betul apabila beliau mengguna pakai keputusan dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan iaitu satu-satunya cara bagi memecat Mohammad Nizar daripada jawatan ialah melalui undi tidak percaya.

"Oleh itu, kami menyatakan bahawa tidak ada sebab bagi mahkamah ini untuk tidak mengikut dan mengguna pakai kes Ningkan bagi kes kami ini," katanya.

"Sama ada Menteri Besar berkenaan telah tidak lagi mendapat keyakinan majoriti, bukan diputuskan oleh rakyat Perak, dan bukan juga diputuskan oleh Sultan, tapi hanya diputuskan oleh anggota dewan undangan negeri yang dipilih," kata Sulaiman.

Ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan itu, Mohammad Nizar berkata: "Tak kiralah apa keputusannya esok, tapi apa yang paling penting ialah sokongan rakyat Perak terhadap saya.

"Apa yang kami minta ini adalah untuk mereka dan apa yang kami lakukan ini hanyalah untuk mendapatkan keadilan melalui proses mahkamah," katanya.

OLEH Greenboc

No comments:


Sila Klik

Pages