Web TVPas

Wednesday, May 6, 2009

Undang-Undang Baru SPR : Pandangan Khir Toyo

oleh Khir TOYO
Sejak beberapa minggu lalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)membuat beberapa cadangan dengan tujuannya untuk mengurangkan ketegangan dalam pilihan raya kecil. Antara cadangan yang saya fikir tidak logik untuk dilaksanakan ialah usaha mengehadkan jumlah penyokongan semasa hari penamaan calon.

2. Cadangan ini bukan idea baru kerana pada tahun 2002, Setiausaha SPR ketika itu, Datuk Haji Wan Ahmad Wan Omar turut membuat cadangan yang sama kerana terlalu ramai penyokong kedua-dua parti hadir di Pilihan Raya Kecil DUN Indera Kayangan.

3. Namun pada hemat saya, cadangan untuk mengehadkan bilangan penyokong semasa penamaan calon bukan sahaja tidak praktikal malah boleh mencetuskan keadaan lebih kacau dan haru biru.

4. Apa akan terjadi jika SPR mengehadkan jumlah penyokong sebanyak 5 ribu orang tetapi yang hadir 10 ribu orang. Jika ada bantahan atau aduan siapa yang akan membilangnya? Kemudian siapa yang akan menguatkuasakannya? Apakah tidak berlaku huru hara atau kekacauan jika Polis menggunakan kuasanya untuk mengeluarkan lebihan lima ribu orang ini dari kawasan penyokong yang disediakan?

5. Saya tidak fikir mana-mana parti politik pun mampu menentukan berapa ramai penyokongnya yang hadir mengikut jumlah yang ditetapkan oleh SPR. Malah ia juga boleh membuka jalan menimbulkan unsur sabotaj seperti menyamar sebagai penyokong parti lawan dan sebagainya.

6. Salah satu cara untuk mengurangkan ketegangan semasa penamaan calon ialah dengan memanjangkan tempoh serahan borang pencalonan.

7. Masa serahan borang penamaan calon hendaklah dilanjutkan dalam tempoh tiga hari. Parti-parti politik atau individu yang berminat untuk bertanding boleh menghantar borang pencalonan mereka dalam tempoh tiga hari pada waktu pejabat kepada Pegawai Daerah atau Pengarah Pilihan Raya kawasan tersebut.

8. Dengan cara ini tidak akan berlaku ketegangan kerana parti-parti politik "besar" boleh hadir di waktu yang berlainan atau hari yang berlainan. Malah ia juga boleh mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut.

9. Malahan SPR boleh mengkaji kemungkinan membenarkan penamaan calon secara "online". Ini akan mengurangkan lagi penumpuan yang keterlaluan di pusat penamaan calon sekaligus mengurangkan konflik penyokong parti-parti yang bertanding.

10. Proses bantahan dan pengumuman calon yang layak bertanding pula boleh diadakan sehari selepasnya.

11. Dengan kaedah ini bukan sahaja ketegangan di tempat penamaan calon dapat dikurangkan malah SPR juga mempunyai banyak masa untuk memeriksa latar belakang setiap calon bagi mengelakkan kejadian calon hilang kelayakan selepas menang pilihan raya atas sebab muflis atau tidak menghantar penyata perbelanjaan pilihan raya lalu.

No comments:


Sila Klik

Pages