Web TVPas

Tuesday, May 12, 2009

Zambry kembali berkuasa..krisis masih berterusan~Malaysiakini

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengahari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan kerajaan pusat.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Hakim Ramly juga berkata mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Zambry.

Katanya beliau berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan.

"Ini adalah kes yang amat unik kerana ia bukan sahaja melibatkan Dr Zambry dan Mohammad Nizar tetapi juga seluruh negeri Perak," katanya.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memutuskan Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai menteri besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Pada 13 Februari, Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan yang beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Zambry daripada menjalankan tugasnya sebagai menteri besar.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam pilihanraya umum ke-12, juga memohon diisytiharkan bahawa Zambry tidak berhak memegang jawatan menteri besar.

Pembangkang dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan 59 kerusi itu selepas tiga ADUN pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas dan yang keempat keluar dari PKR dan menyertai semula Umno.

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan melantik Dr Zambry selepas mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam Dewan.

Zambry memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan dan notis rayuan, 16 jam selepas Mohammad Nizar kembali menjadi Menteri Besar.

Berikutan keputusan itu, seorang daripada peguam yang mewakili Nizar, Ranjit Singh berkata mereka sedang menimbangkan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan perintah penangguhan keputusan itu.

No comments:


Sila Klik

Pages