Web TVPas


Thursday, May 14, 2009

Sajak oleh Muhaimin Sulam

Aku sokong polis
Menangkap mereka yang berhimpun
Di kedai kopi, bawah pokok
Atau tepi longkang
Meski pun mereka diam
Mulut mengirup kopi o
Bibir masih berminyak
Dengan roti canai mamak
Atau perempuan yang berbisik sendiri
Memaki kerana tak berani
Atau si tua berdiri memerhati
Digari, masuk ke lori

Aku sokong ADUN
Bergaduh depan kakitangan kerajaan,
Kerabat Sultan dan para wartawan
Cabut otak dan budi
Letak ke tepi
Usah diukur pada petah berkata
Atau indahnya hujah pujangga
Kembali beradu secara lelaki

Aku sokong Hakim
Buat keputusan mengikut perut
Biar peguambela pendakwa menangis
Hari-hari ke mahkamah
bersarapan roti dan mentega yang sama.

Aku sokong pemberita
Mendakwa si pulan punya angkara,
Agar rakyat mudah percaya
Biar telinga mereka menanah
Mata merah menerimanya

Aku sokong ulama atau mufti membisu
Menginsafi tawadu’nya secebis
Membilang tasbih yang belum habis
Terus menggeleng kepala semacam berzikir
Mengintai lubang ke syurga

Kerana selepas itu,
Angin turun berderu derau
Ombak mengalun badai
Panas hati bara membakar
Keringat terpercik ke hujung kaki
Gengam tidak lagi bertangan kosong
Parang tidak lagi bersarung
Suara tidak lagi berguna
Benamkan keangkuhan
Biarlah ketidaktentuan menentukan

Muhaimin Sulam
Swansea. UK

No comments:


Sila Klik

Pages