Web TVPas


Thursday, March 19, 2009

Najib yg penuh ranjau

Oleh MSOMelayu

Kenapakah Proses Penggantian Abdullah Dengan Najib Sukar?

SESEKALI timbul rasa kesian dan simpati kepada Mohd Najib Razak. Betapa sukarnya untuk beliau menjadi perdana menteri ke- enam, bagi mengganti Abdullah Ahmad Badawi. Proses yang dilaluinya penuh kawat berduri. Jalannya berliku-liku, bengkang bengkok dan berbonggol-bonggol; tidak segampang proses yang dilalui oleh bekas-bekas PM sebelum ini dan PM yang ada kini.

Jika diselak sejarah proses penggantian perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj kepada perdana menteri ke dua, Tun Razak Hussein tahun 1970 tidak serumit apa yang sedang dilalui Najib kini. Tunku hanya perlu dikocak dan diugutkan sedikit saja terus mengaku kalah, menyerahkan jawatan kepada Tun Razak.

Sejarah telah menyebut orang yang memain peranan penting memaksa Tunku berundur ialah Dr Mahathir Mohamad. Mahathir memulakan dengan menulis surat peribadi mengecam Tunku yang bertanggungjawab atas meletusnya peristiwa 13 Mei. Surat itu kemudian disebarkan kepada orang ramai dengan tujuan untuk mengaibkan Tunku.

Mungkin cerita ini benar kerana Tun Razaklah yang membawa balik semula Mahathir ke dalam Umno selepas dipecat oleh Tunku!

Begitu juga proses pertukaran perdana menteri ke dua, Tun Razak Hussein kepada birasnya Hussein Onn pada tahun 1976 lagi mudah dan ringkas. Malahan Hussein tidak pun berfikir dia akan menjadi perdana menteri ke tiga. Peristiwa ini berlaku apabila Tun Razak meninggal dunia pada tahun 1976 di London kerana leukemia.

Pengambilalihan jawatan perdana menteri oleh Hussein Onn itu bolehlah dianggap sebagai menerima pesaka untuk meneruskan perjuangan Razak untuk bangsa dan negara.

Demikian juga proses penggantian perdana menteri ke tiga kepada perdana menteri ke lima Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1981. Mahathir tidak payah melalui jalan berliku atau terpaksa membuat pelan peralihan berbulan-bulan. Ia berlaku hanya dengan sedikit saja kocakan ke atas Hussein Onn, perdana menteri ke tiga itu terus berhenti, dan menyerahkan kerusi kepadanya.

Hussein berhenti kerana dia seorang bermaruah dan tegas. Dia berhenti apabila dia merasa dia tidak disukai lagi apabila beliau ditentang oleh Suleiman Palestin untuk jawatan Presiden Umno. Walhal tentangan itu adalah agenda untuk menjatuhkannya. Sekali lagi pengunduran Hussein itu adalah kerana perancangan halus daripada Mahathir.

Sementara ada juga cerita-cerita dari memoir orang tertentu sebelum Mahathir mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Hussein, Hussein telah memanggil tiga orang tokoh utama parti ketika itu, iaitu Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir Mohamad. Hussein dikatakan meminta ketiga orang ini berpakat siapa antara mereka yang berhak mengambil alih tempatnya. Hussein tidak mutlak menyerahkan kepada Mahathir.

Dalam perundingan itu Tengku Razaleigh telah menunjukkan nama Mahathir atas sifat setiakawan dan juga memandangkan usia Mahathir lebih tua daripadanya. Walaupun dari segi senioriti dan hierarki parti, Tengku Razaleigh adalah naib presiden kedua, selepas Ghafar manakala Mahathir naib presiden ketiga. Tetapi Tengku Razaleigh telah berkorban dengan harapan Dr Mahathir merestuinya menjadi timbalan perdana menteri. Sebaliknya Mahathir mungkir dengan menyokong Musa Hitam.

Demikian juga proses penggantian perdana menteri ke empat dengan perdana menteri ke lima pada 2003 tidak melalui jalan berliku.

Abdullah tidak pun meletakkan ayat-ayat jampi bertulis jawi atau kayu atau batu dibungkus dengan kertas di meja Dr Mahathir untuk melemahkan semangat Mahathir supaya cepat meninggal kerusi berkenaan. Abdullah tidak pun menggunakan proksi untuk mencipta pelan peralihan. Abdullah benar-benar menyerahkan kepada Allah.

Adapun kenapa proses pemberhentian Mahathir menjadi cepat dan mudah ialah kerana rakyat sudah tidak mahunya lagi. Gelombang dan gelora di luar (reformasi) telah mengangguinya. Ini ditambah pula oleh kalangan Umno sendiri yang sudah mual dengannya. Mahathir sampai 'menangis' kerana tidak mahu melepaskan jawatan itu? Walaupun masih ada tunggul-tunggul ‘bebal’ (meminjam perkataan favourite Ainon Mohd) namun mereka tidak mampu melawan arus kencang dari luar yang tidak mahukan Mahathir.

Maknanya, Abdullah tidak pun membuat apa-apa perancangan untuk menyingkirkan Mahathir melainkan keadaan dan dosa-dosanya kepada rakyat yang menyingkirkan dirinya.

Berbeza dengan proses penggantian perdana menteri ke lima kepada bakal perdana menteri ke enam yang dijadualkan pada Mac 2009 ini. Proses itu tampak begitu rumit, berliku-liku penuh halangan dan suspen sekali.

Berbelit-belit dan mencabar macam pendakian ke Everest. Jalan menuju ke Putrajaya semakin hari semakin samar dan berbalam-balam bagi Najib. Persoalan masih bermain di segenap kepala umum apakah bakal perdana menteri ke enam, Mohd Najib sempat sampai ke Putrajaya ataupun tidak?

Jalan yang dilalui Najib ini sungguh sukar dan bukan mudah. Belum pernah berlalu dalam proses penggantian ini terpaksa diadakan pelan peralihan khas. Belum pernah berlaku tekanan ke atas bakal perdana menteri sampai membangkitkan soal jenayah dan membongkar mengenai sifat dan perangai isteri yang bakal menjadi wanita pertama negara. Dan menariknya peralihan ini juga turut menggunakan pakar pecah dan perintah yang terkenal sejak tahun 1969 lagi!

Satu sejarah, tidak pernah berlalu penentangan terbuka kepada bakal perdana menteri yang melibatkan orang di luar Umno, rakyat sendiri. Tetapi dalam kes Najib ini rakyat dari semua lapisan dan profesional turut sama mempertikaikannya. Lebih mengedukan lagi sampai ada yang terang-terang menggesa Yang di-Pertuan Agong agar tidak melantik Najib. Sanjungan yang diperolehi oleh Barack Obama daripada rakyat Amerika tidak berlaku kepada Najib di Malaysia.

Halangan ini sungguh perit bagi Najib.

Kenapa ramai yang tidak suka kepada Najib? Saya tidak berniat untuk menghuraikan satu persatu di sini kerana ia sudah lama tertanam dalam kepala setiap daripada orang yang tidak sukakannya. Baik ianya bersifat persepsi atau realiti tetapi itulah yang berlaku.

Jadi, mengenangkan kesukaran dihadapi Najib inilah tiba-tiba tercetus juga di sanubari saya perasaan simpati dan kesiankan Najib. Apa lagi mengenangkan proses yang dilalui bapaknya kira-kira 40 tahun lalu begitu mudah dan tidak menyukarkan. Apakah kesukaran ini akan diimbalkan dengan kemuliaan kepada Najib selepas beliau menjadi perdana menteri kelak?

Ataupun kesukaran ini adalah pedoman bahawa Najib tidak sempat menjadi perdana menteri ataupun kalau beliau menjadi perdana menteri nanti akan membawa kecelakaan kepada Umno dan negara?

No comments:


Sila Klik

Pages