Web TVPas


Wednesday, March 18, 2009

Pemimpin PKR dikepung penyokong UMNO




Penyokong Umno berbaring di jalan, cuba menghalang ketua Angkatan Muda PKR keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka selepas membuat aduan terhadap Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dua penyokong itu, daripada kira-kira 50 orang, berkumpul di depan pintu masuk kompleks suruhanjaya itu di Jalan Taming Sari di bandar Melaka tengah hari tadi.

Shamsul Iskandar Mohd Akin memberitahu Malaysiakini, beliau sewaktu kejadian berada di dalam sebuah kereta, ingin pulang selepas lebih sejam di pejabat SPRM mengadu kes politik wang ketua menteri Melaka.

Keretanya dikepung oleh penyokong-penyokong Umno itu dalam kawasan ibu pejabat SPRM, tambahnya.


Mohd Ali, juga seorang naib presiden Umno, semalam didapati bersalah mengamalkan sogokan politik oleh lembaga disiplin parti itu dan dilarang bertanding merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan, hujung bulan ini.

Shamsul Iskandar, yang berasal dari Melaka, berkata berlaku pertengkaran lebih kurang 15 minit di situ antara kira-kira 20 penyokongnya dengan kumpulan tersebut, yang dipercayai penyokong Mohd Ali.

Kumpulan itu, tambahnya, mula berkumpul sekitar kompleks itu mulai jam 12.30 tengah hari dengan membawa bendera Umno dan kain rentang menyatakan sokongan terhadap ketua menteri itu.

Identiti sebenar kumpulan itu tidak dapat dikenal pasti, kata Shamsul Iskandar lagi.

Beliau berkata, kumpulan yang menghalangnya itu mempersoalkan tindakan beliau membuat laporan kepada SPRM serta memberi amaran kepadanya supaya "jangan jaga tepi kain orang lain".


Akibat tindakan itu, berlaku perang mulut antara kedua-dua pihak menyebabkan suasana riuh-rendah.

Sepasukan 40 anggota polis datang meleraikan pertengkaran tersebut dan kedua-dua kumpulan itu kemudian bersurai.

Shamsul Iskandar berkata, sewaktu kekecohan itu, keretanya dibaling seketul batu yang menyebabkan cermin depannya retak.

Beliau bercadang membuat aduan polis berhubung kerosakan tersebut.

Shamsul Iskandar juga menjelaskan, beliau tampil membuat laporan itu sebagai reaksi terhadap keputusan lembaga disiplin Umno semalam.

"Kalau lembaga disiplin Umno sendiri sudah putuskan perkara itu, takkan SPRM tidak boleh siasat?" katanya.

Dalam aduannya, pemimpin muda itu turut melampirkan laporan pelbagai akhbar hari ini yang menyiarkan keputusan lembaga berkenaan.

Beliau ditemani ketua Angkatan Muda PKR Melaka, Hairis Nordin dan ketua Pemuda PAS negeri Kamarudin Sidek ketika membuat aduan itu.

oleh : Malaysiakini

No comments:


Sila Klik

Pages