Web TVPas


Monday, March 16, 2009

Subahan Kamal diberi amaran oleh speaker

Wakil rakyat BN hari ini menerima amaran perintah keluar dewan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas didakwa "main-main" ketika mengemukakan soalan tambahan kepada exco.

Subahan Kamal (BN-Taman Templer) diberi amaran oleh Teng Chang Kim apabila mengemukakan soalan kepada exco kerajaan tempatan, Ronnie Liu berhubung pengambilalihan dewan orang ramai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Subahan pada mulanya menerima teguran awal Teng apabila tidak memberikan soalan, sebaliknya membuat ulasan pada sesi soal jawab terhadap isu pengambilalihan dewan itu.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu mendakwa, tiada penjelasan hitam putih daripada PBT mengenai status dewan tersebut yang dibina sendiri oleh sebuah parti politik di atas tanah kerajaan.

Menjawab teguran speaker, setelah meminta maaf, Subahan memberikan alasan "celaru sedikit" kerana "teringatkan sangkaan buruk (wakil rakyat) Bukit Antarabangsa (Azmin Ali) tentang speaker duduk di bawah pokok" sebelum itu.

Speaker yang kelihatan marah dengan jawapan itu berkata: "Jangan main-main, sekali lagi saya suruh kamu keluar."

Azmin ketika membahaskan titah Sultan Selangor minggu lalu berkata, beliau bersyukur kerana DUN Selangor dapat bersidang dengan baik, berbeza dengan keadaan di Perak yang menghadapi krisis perlembagaan sehingga menyebabkan speakernya mengadakan sidang tergempar di bawah pokok.

Teng berkata, bagi menjimatkan masa dan melancarkan perjalanan dewan, Adun yang hendak membahaskan sesuatu isu boleh berbuat demikian dalam sesi perbahasan, bukan soal jawab.

"Kalau rasa celaru, jangan masuk dewan," katanya kepada Subahan.

Ronnie, yang kemudiannya hendak menjawab perkara itu, turut ditegah oleh speaker.

No comments:


Sila Klik

Pages