Web TVPas


Wednesday, March 11, 2009

Siapa Tuan Sheikh Mahmud?

oleh Pak Katib

Secara tak sengaja atau hadir atas jemputan, tapi yang jelas isu pertemuan ini telah menjadi buah mulut penganalisis politik dan rakyat di Malaysia. Apakah pertemuan ini dirancang atau sebaliknya hanya Tuan Sheikh Mahmud yang tahu jawapannya. Pertemuan yang menjadi titik tolak kepada perdamaian dan desas-desus perpaduan politik sudah pasti akan menghangatkan lagi kerusi nombor satu negara apatah lagi kerusi itu sudah semakin dekat dengan orang nombor 2 sekarang ini.


Apakah Pak Lah tidak akan melepaskan kerusi itu? seandainya benar bagaimana pula dengan janji peralihan pucuk pimpinan yang telah pun dipersetujui. Andainya pertemuan itu sebagai "declaration" perdamaian politik, kenapa ianya dibuat di tempat Tuan Sheikh Mahmud. Walaupun Dato' Seri Anwar Ibrahim telah membuat penafian terhadap spekulasi yang wujud dan menyatakan ianya adalah secara kebetulan, tapi orang-orang politik punyai tafsiran yang berbeza-beza.


Setelah difikir-fikirkan, terasa saya untuk mengetahui siapa sebenarnya Tuan Sheikh Mahmud yang juga digelar Tok Ayah ini. Kenapa pengaruhnya terlalu besar sehingga berjaya menarik tokoh-tokoh agama dan orang kenamaan hadir ke Majlis beliau. saya cuba menyelongkar sumber-sumber berkaitan akhirnya saya temui satu artikel yang ditulis oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Kamil Hj. Abd. Majid yang bertajuk "Fanatik Dan Taksub Kepada Guru"


Saya cuba menyemak satu persatu dan akhirnya saya temui kenyataan berikut :


"Ajaran Aurad Ismailiah yang diajar oleh Mahmud bin Abd. Rahman, didapati menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran itu. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan Aurad Ismailiah yang diajar oleh Mahmud bin Abd. Rahman di mana jua berada, hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH subhanahu wata'ala". Demikian Warta Kerajaan Negeri Selangor yang dibuat pada 25 Oktober 1995 memfa twakan ajaran tersebut.

Ajaran Tarekat yang dipimpin oleh Syeikh Mahmud al-Kedahi ini, seperti kebanyakan ajaran tarekat yang lain, mengandungi unsur taksub. Tarekat yang ditubuhkan pada awalnya di Batu 5, Sik, Kedah, telah berkembang ke Kg. Hangus, Kupang dan Kg. Kijang, Baling. Pada 25 April 1979, ajaran ini diharamkan di Negeri Kedah. la berpindah pula ke Selangor iaitu di Surau Nurul Iman, Batu 12 3/4, Jalan Sungai Long , Hulu Langat. Tarekat ini juga dikenali dengan Tarekat Ahmadiah Qadiriah. Menurut Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (2000), ciri-ciri kesalahan ajaran ini antaranya; pengikut dikehendaki membayangkan wajah guru ketika berzikir dan bersuluk. Semasa berpuasa dan bersuluk, pengikut tidak dibenarkan makan makanan yang berdarah, hanya minum seteguk air sahaja apabila dahaga.
Semasa upacara berzikir, suara diangkat dan diselang-selikan dengan pukulan rotan untuk menyamakan rentak irama ratib. Kemuncak ratib ialah pengikut akan melompat tidak sedarkan diri. Beberapa perlakuan aneh berlaku. Ada yang menari, ada yang tertonggeng, terselak kain dan ada yang menangis. Mengikut Mahmud, itu menunjukkan pengikutnya banyak dosa. Para pengikut pula menyatakan, ketika itu mereka sampai ke kemuncak kelazatan.
Gurunya mendakwa menerima wahyu dari langit. Pengikut pula menganggap gurunya adalah imam Mahdi al-Muntazar. Oleh itu, para pengikut menganggap diri dan amalan mereka lebih suci dan tinggi martabatnya dari orang lain yang tidak mengikut ajaran tersebut. Selanjutnya guru membuat dakwaan yang aneh-aneh seperti dia tidak siuman semasa hendak menerima ajaran ketika bertapa di gua Bukit Enggang dan beribadat di gua yang digali. Dianugerahkan Allah kepadanya kekuasaan untuk mengetahui yang mana hak dan yang mana batil tanpa belajar, serta Allah memperlihatkan kepadanya dunia yang penuh dosa.
Mohd Fakhruddeen Che Omar (2001), calon Sarjana Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, sempat mengadakan temubual dengan empat orang pengikut tarekat tersebut termasuk isteri keempat kepada wali mursyid Syeikh Mahmud yang dipanggil dengan gelaran 'Umi'. Beliau salah seorang guru di Sekolah Menengah Madrasah Nurul Iman, Sungai Long, Hulu Langat, Selangor. Menurut Umi, mursyid adalah mujaddid umat yang tidak ada apa-apa kepentingan diri dan ikhlas semata-mata kerana Allah.Tanggung jawab murid adalah patuh dan taat kepada guru. Umi sebagai isteri dan sekali gus murid Haji Mahmud, mengutamakan kedudukan adab sebagai murid. Rasa hormat yang tinggi dan mendalam kepada suami, menjadikannya lebih berwaspada agar tidak melanggar adab. Harapannya, dapat mengecapi nikmat dan keistimewaan sebenar dalam dunia kesufian yang dilalui oleh suaminya yang tercinta.
Matlamatnya untuk menghabiskan beberapa banyak selawat dalam satu hari dan sanggup mengqada'nya jika tidak sempat habis pada hari yang sama. Katanya, "Bila ada istiqamah barulah dapat memperolehi hikmah". Menurut seorang lagi pengikut yang menetap di perkampungan tarekat itu; ... “seorang mursyid adalah merupakan pembimbing manusia berlandaskan al-Qur'an dan al-Sunnah yang menjadi contoh dan ikutan ramai". Katanya; "setiap mereka yang ingin mencari kemuliaan diri, adalah memerlukan seorang guru mursyid sebagai pembimbing. Mereka perlu memperbanyakkan selawat iaitu kira-kira 3000 selawat sehari". Seorang guru di Madrasah Nurul Iman mengatakan; "... liku hidup yang mencabar ini perlu ditempuhi dengan keberkatan seorang guru yang mempunyai matahati... Murid pula perlu patuh terhadap sesuatu yang diarahkan oleh guru dalam bentuk memberi khidmat".
Sementara itu seorang lagi pengikut yang merupakan tukang masak di perkampungan tarekat itu, sentiasa berusaha mendisiplin diri, tidak melakukan perkara yang sia-sia.
Sebagai murid yang taat, dia akan sentiasa melakukan apa sahaja yang disarankan oleh guru mursyid mengikut kemampuan yang ada. Antara yang disarankan kepada beliau ialah membaca ayat kursi tujuh kali pada setiap pagi dan petang. Berselawat pada tiap waktu sembahyang 40 saat, setiap hari 40 minit dan sebulan 40 jam. Beliau pernah bersuluk selama tiga hari tiga malam di mana para salik tidak tidur, tidak makan dan tidak minum. Bahkan duduk tekun beribadat, berselawat, berzikir mengikut syarat dan tertib tertentu.
Beliau selanjutnya menceritakan pernah berpuasa selama 4 bulan sepuluh hari dengan berpantang tidak makan binatang atau makanan yang berdarah dan berminyak.
guru yang digelarkan dengan nama Syeikh Mahmud menamakan tarekatnya dengan Tarekat Ahmadiah Qadiriah. Tarekat ini menumpukan kepada ibadat berbentuk zikir, selawat dan istighfar khusus. la berpegang kepada Aurad Ismailiah. Syeikh Mahmud mendakwa mula mengamalkan kehidupan kesufian sejak berumur enam tahun lagi iaitu mengikut amalan yang dipegang oleh datuknya. Datuk beliau mengamalkan Tarekat Ahmadiah yang didakwanya diambil dari Tok Syafie di Mekah selama tiga tahun.
Beliau mula mendekati wali-wali dan syeikh-syeikh terkenal kerana di rumah datuknya itu menjadi tempat berkumpulnya wali dan syeikh itu, termasuk dakwaannya Syeikh Abdul Qadir al-Mandili. Ketika berusia tujuh tahun lagi, beliau ditalkinkan zikir oleh Rijal al-Ghaib.
Setelah ditalkinkan, beliau mendakwa mampu membezakan orang yang ikhlas dan jujur atau tidak, semata-mata dengan melihat wajah seseorang itu. Ketika usianya sembilan tahun, melalui suara tertentu beliau mengenali orang-orang soleh serta wali Allah. Justeru meminati bidang kesufian, selepas tamat sekolah Melayu, beliau pindah ke sekolah pondok. Beliau menolak tawaran menjadi guru pelatih atas nasihat datuknya yang inginkan beliau menjadi orang yang kuat beragama. Mula mengamalkan selawat Syeikh Abdul Qadir Jilani, selawat Ahmad Baidhawi dan selawat Tajalli.
Selawat Tajalli di ambilnya semasa melawat ke rumah Tok Wali di Bukit Panau, Kelantan. Pada ketika itu tidak ramai yang mengamalkan selawat Tajalli termasuk di kalangan pelajar pondok sendiri. Mereka yang mengamalkannya dianggap mempunyai martabat yang tinggi di bidang kesufian. Syeikh Mahmud menyambung pelajaran ke India, berguru dengan Sheikh Maulana Abu Bari dan mendapat latihan kerohanian. Beliau pulang ke Malaysia dan menghabiskan selawat sebanyak 5.6 juta dalam masa lima tahun. Selawat ini memberikan kepadanya kekuatan.
Peristiwa 13 Mei 1969, beliau melihat berbagai perkara karamah dan ketika itu beliau beruzlah ke dalam hutan. Beliau mendakwa pada masa itulah, beliau mendapat guru dari jin yang mengajarkan beliau dengan berbagai jenis persilatan yang dinamakan silat lintar. Di alam jin beliau bertemu dengan Syeikh Abdul Qadir Jawa, anak murid kepada Syeikh Abdul Qadir Jilani. Syeikh Abdul Qadir Jawa mengajarnya tentang alam kemegahan dan beliau menuntut ilmu dari syeikh itu sehingga terbuka hijab di antaranya dengan Allah. Beliau juga mendakwa bertemu dengan Syeikh Abdul Qadir Jilani iaitu semasa beliau sakit sewaktu menjalani ibadat kerohanian dengan Syeikh Abdul Qadir Jawa. Pada 12 Rabi'ul Awwal, tahun 1972, tarikh beliau mengambil Aurad dari Tok guru Haji Omar. Beliau rakamkan dalam ingatan beramal selama 40 hari.
Sekembalinya dari Mekah pada tahun 1984, genaplah Syeikh Mahmud beramal selama 14 tahun. Ketika itulah beliau mendapat alamat daripada Allah, bahawa beliau kini mendapat gelaran Abdul Qadir setelah berusaha menjalani latihan kerohanian terakhir selama empat tahun. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk
memperkembangkan tarekat ke seluruh dunia, berpusat di Malaysia. Beliau lantas mengembangkan Tarekat Ahmadiah Qadiriah. Hasil dari kepandaian menerapkan ajaran ini, Syeikh Mahmud dikatakan sudah membimbing pusat pengajian kesufian yang berada di seluruh Malaysia dan di luar negara. Madrasah Nurul Iman berada pada semua pusat pendidikan kesufian itu di Malaysia.
Dakwaan juga mengatakan pusat pengajian ini ada juga di Mekah al-Mukarramah, di Kok Sira Narathiwat, Thailand, di Gujranwala, Pakistan, di Kayel Patnam, India dan di Damsyik, Syria. Pusat Pengajian Hulu Langat mulanya berasal dari Pusat Pengajian Batu 12 Gombak. la berpindah ke Hulu Langat pada tahun 1986. Tanah seluas tiga ekar, telah diwakaf oleh Haji Zainudin bin Haji Yusof. Pada masa kajian dilakukan pada tahun 2001, terdapat 30 keluarga yang diam di situ dengan kira-kira 200 jemaah. Madrasah dua tingkat di situ mampu memuatkan 400 jemaah. Surau tersebut didirikan pada tahun 1994. Seramai tujuh orang Guru madrasah; tiga guru akademik dan empat orang guru agama yang mengajar anak-anak jamaah.
Syeikh Mahmud al-Kedahi ini berasal dari keturunan dua raja iaitu Raja Legeh di sebelah bapa dan keturunan Raja Laos, Sintok, Kedah. Mahmud dilahirkan di kampung Kepala Parit, Jalan Tokai, Alor Star, Kedah pada 8 Julai 1943 bersamaan dengan 27 Jamadil Akhir 1362H. Dibesarkan dibawah asuhan datuknya, Haji Ismail bin Haji Deris seorang ulama dari Pattani (Legeh) sehingga berusia 10 tahun, sewaktu datuknya meninggal dunia. Syeikh Mahmud mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Simpang, sejak berusia lapan tahun. Kemudian menyambung ke Pasir Tumbuh selama dua tahun, mempelajari Nahu, Fekah dan Hadis.
Selepas itu ke India pada awal 1967 iaitu di Deoband selama empat bulan. Justeru sukar memahami bahasa Urdu kerana dia lebih mahir bahasa Arab beliau berpindah ke Kolej Jamaliah di Madras 12, Perambor, India. Beliau mendalami bidang Usuluddin selama dua tahun sehingga mendapat syahadah. "

Saya tidak tahu kebenaran dan kesahihannya. Mungkin orang yang membuat kajian tentangnya lebih maklum. Persoalannya, sekiranya Sheikh Mahmud sepertimana yang digambarkan dalam artikel ini bermakna sudah wujud perkara yang cukup musykil di kalangan rakyat dan penyokong masing-masing. Pakatan Rakyat akan cuba mengandaikan kenapa perlunya Dato' Seri Anwar Ibrahim menerima jemputan dari Syeikh Mahmud dan bagi penyokong Barisan Nasional akan merasa curiga tentang tujuan sebenar kehadiranPak lah di rumah Sheikh Mahmud yang mana amalan tarikatnya telah difatwakan menyeleweng.

Muslihat dan agenda pertemuan Dato' seri Anwar dan Pak Lah ini hanya tuhan sahaja yang tahu. Kenapa dan mengapa ianya berlaku di situ juga adalah sesuatu yang terlalu sukar diramal.

tunggu dan lihat

Pak Katib

2 comments:

Naman said...

Salam,

Hakikatnya Tuhan saja yg tau, dalam bab macam ni kena tanya balik pakar2 dlam bidangnya. kalau tanya org yg bukan bidangnya, mungkin jawapan yg diberikan salah.

Setakat fatwa dan warta tu boleh ditarik balik, kalau DSAI jadi PM lepas PRU13 nnti, takde masalah itu bagi Tuan Sheikh.

Unknown said...

betul..
warta dan fatwa dari manusia..
hanya tuhan saja yang tahu.

Kalau orang kata sesat, tp Tuhan kata tidak, kita tak tahu. Oleh itu berawaslah setiap kata-kata.

Abu Sa’id Al Khudri menuturkan bahwa Rasulullah saw bersabda :
“Hendaklah kamu banyak berzikir kepada Allah (mengingati Allah), sehingga orang –orang mengatakan bahwa kamu telah gila (sesat).” (HR Al Hakim dan menilainya sahih, Ahmad,Ibnu Hibban dan Al Baihaqi)


Sila Klik

Pages